SelangorToday

DAP SERU RAKYAT BERSAMA PM, PERTAHAN PALESTIN DI PERINGKAT GLOBAL

Rakyat Malaysia mempunyai kewajiban moral berdiri bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mencari pengakhiran demi Palestin, kata DAP.

Setiausaha Agung Loke Siew Fook, berkata penegasan perdana menteri dalam isu Palestin pada sidang akhbar bersama Canselor Jerman Olaf Scholz, baru-baru ini, disifatkan penilaian “terus terang” yang disokong parti itu.

“DAP menyokong keberanian perdana menteri yang tampil sebagai suara nurani masyarakat antarabangsa.

“Sementara kita bersolidariti dengan rakyat Palestin, harus ditekankan bahawa kekejaman di Gaza hanya dapat ditamatkan melalui penyelesaian antarabangsa.

“Oleh itu, rakyat Malaysia mempunyai kewajiban moral untuk berdiri bersama dengan perdana menteri kita dalam mencari pengakhiran kepada kesengsaraan rakyat Palestin di pentas antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Bernama melaporkan Anwar mengkritik negara Barat semasa sidang media bersama Scholz di Berlin pada 11 Mac, kerana kurangnya tindakan mereka terhadap kekejaman Israel di Gaza.

Perdana menteri yang dalam rangka lawatan enam hari ke Jerman, mempersoalkan kemanusiaan Barat dan mengutuk sikap “selektif” dan “ambivalen” mereka terhadap konflik itu.

Malaysia dan Jerman turut menggesa gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza, selain pembebasan tawanan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin disegerakan.

Al Jazeera melaporkan, Anwar mempertahankan hubungan Malaysia dengan sayap politik Hamas, sambil menambah beliau tidak akan memohon maaf di atas hubungan itu. – FMT

Exit mobile version