KUALA LUMPUR, 5 Mac – Democratic Action Party (DAP) menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi untuk memperkukuhkan reformasi institusi dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan pemisahan kuasa terus diperkasa.
Dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada 4 Mac, parti itu menekankan bahawa agenda reformasi mesti terus dipacu secara konsisten dan tidak boleh dikompromi walau berdepan cabaran politik semasa.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata parti itu kekal komited mendokong usaha memperkukuh integriti institusi negara sebagai asas kestabilan dan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Sebagai sebahagian daripada komitmen itu, DAP menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan media asing berhubung kewujudan “mafia korporat” serta tuduhan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disalahgunakan untuk kepentingan tertentu.
Menurut CEC, langkah tersebut penting bagi mempertahankan kewibawaan SPRM serta memastikan tiada ruang untuk penyalahgunaan kuasa dalam institusi penguatkuasaan negara.
Dalam masa sama, DAP menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan meluluskan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
CEC menyeru agar RUU tersebut dibentangkan semula dalam sidang Parlimen akan datang sebagai sebahagian daripada komitmen reformasi institusi yang dijanjikan kepada rakyat.
DAP turut menyokong keputusan kerajaan merujuk RUU Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Wakil DAP dalam jawatankuasa tersebut ialah Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, yang akan memainkan peranan memperkukuh aspek akauntabiliti dan ketelusan dalam proses pelantikan jawatan berkenaan.
CEC menegaskan, dalam kerangka Kerajaan Perpaduan, DAP akan terus menjadi suara konsisten yang memastikan agenda reformasi institusi bukan sekadar retorik, tetapi diterjemah kepada tindakan konkrit demi memperkukuh sistem demokrasi dan memerangi rasuah secara menyeluruh.

