
Tragedi letupan paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights baru-baru ini menggemparkan negara dan meninggalkan kesan mendalam kepada ratusan keluarga yang terjejas. Namun, pelbagai bentuk bantuan dan sokongan telah digerakkan secara pantas dan menyeluruh oleh Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan MADANI, ADUN serta Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Seri Serdang.
Kerajaan Negeri Selangor menjadi antara pihak terawal yang tampil dengan pelan bantuan komprehensif kepada mangsa tragedi. Antara inisiatif utama ialah pembiayaan sewaan rumah sebanyak RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada lebih 600 keluarga yang kehilangan tempat tinggal, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM7.35 juta. Langkah ini mencerminkan keupayaan negeri menggunakan rizab kewangan secara efektif untuk membela rakyat yang ditimpa musibah.


Di samping itu, Kerajaan Negeri turut menubuhkan Tabung Prihatin Selangor, hasil potongan gaji Exco, ADUN, ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan penjawat awam. Tabung ini berjaya mengumpul lebih RM500,000, yang telah disalurkan terus kepada mangsa dalam bentuk bantuan segera dan barangan keperluan asas.
Dari peringkat Persekutuan, Kerajaan MADANI melalui kerjasama dengan Petronas telah menyampaikan bantuan tunai sebanyak RM10,000 untuk setiap keluarga, iaitu RM5,000 masing-masing daripada kerajaan dan syarikat petroleum negara itu. Sumbangan ini merupakan suntikan awal penting bagi membantu mangsa memulakan langkah pemulihan dalam tempoh singkat.

Sementara itu, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan ADUN Seri Serdang menunjukkan komitmen luar biasa dalam membantu mangsa sejak hari pertama insiden berlaku. Pegawai-pegawai PKM telah turun padang bersama agensi berkaitan bagi menyelaras bantuan kecemasan termasuk pengagihan makanan, pakaian dan keperluan asas kepada mangsa yang terkesan. Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan di Masjid Putra Heights dengan sokongan logistik dan pengurusan daripada PKM. Lebih membanggakan, inisiatif mewujudkan ‘Toy Library’ ceria turut dilaksanakan di PPS sebagai usaha meringankan tekanan emosi kanak-kanak yang terjejas akibat tragedi ini.
Sebagai tanda solidariti penuh terhadap mangsa, ADUN Seri Serdang, Tuan Abbas Azmi turut membatalkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN 2025 dan mengalihkan sepenuhnya peruntukan serta perhatian kepada usaha bantuan dan pemulihan komuniti. Saluran aduan di PKM Seri Serdang juga dibuka kepada semua mangsa untuk memohon bantuan lanjut atau membuat aduan secara langsung. Pendekatan menyeluruh dan cepat ini membuktikan bahawa kebajikan serta keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam pentadbiran DUN Seri Serdang, sejajar dengan semangat #KitaSelangor dan Malaysia MADANI.


Bagaimanapun, tragedi ini turut mencetuskan kritikan daripada segelintir pihak pembangkang, termasuk YB Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi yang menyifatkan jumlah bantuan tidak mencukupi dan mencadangkan sidang khas DUN diadakan. Namun, fakta di lapangan menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri telah bertindak lebih awal dan menyeluruh tanpa perlu menunggu sidang khas tersebut.
Malah, tindakan pantas termasuk pengagihan dana, penempatan sementara, serta mobilisasi lebih 1,000 sukarelawan bagi membantu proses pembersihan membuktikan bahawa pendekatan bersepadu dan berkesan sedang dilaksanakan. Tumpuan utama kini ialah menjamin keselamatan kawasan terjejas serta menyokong pemulihan jangka panjang, berdasarkan data dan siasatan teknikal yang sedang dijalankan.


Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut dibuka tanpa diskriminasi, menepati titah DYMM Sultan Selangor agar semua mangsa tanpa mengira latar belakang diberi perlindungan dan bantuan sewajarnya.
Secara keseluruhannya, tindakan yang diambil oleh semua peringkat – daripada Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan hingga ke Pusat Khidmat DUN Seri Serdang – memperlihatkan komitmen tinggi dalam membela nasib mangsa tragedi.


Kritikan yang tidak disertai fakta lengkap tidak wajar dijadikan modal politik, khususnya dalam saat rakyat memerlukan sokongan menyeluruh.
Tragedi Putra Heights telah menguji sistem pengurusan bencana di negeri ini, dan sehingga kini, tindak balas daripada semua pihak membuktikan bahawa kesejahteraan rakyat masih menjadi keutamaan utama dalam dasar kerajaan negeri dan persekutuan.