SelangorToday

DARI SAWIT MENJADI GULA, SHABERY CHEEK CETUS IDEA FELDA TEROKA EKONOMI KITARAN

Pengerusi  Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Ahmad Shabery Cheek mencetuskan sebuah idea baharu kepada pasukan pengurusan FELDA untuk meneroka ekonomi kitaran bagi menjana pendapatan baharu kepada FLEDA. Melalui satu ucapan beliau yang dimuat naik di aplikasi TikTok beliau, bekas Ahli Parlimen Kemaman itu menyatakan hasrat dan cita-citanya untuk melihat FELDA melaksanakan pendekatan yang lebih tersusun dan berstrategi dalam menjana pendapatan kepada FELDA dan peneroka. Katanya sebelum ini FELDA hanya bergantung pendapatannya kepada ekonomi utama yang dijana melalui penghasilan kelapa sawit yang telah diproses sahaja.

Hasil yang telah diproses menggunakan 20-25% daripada kelapa sawit, manakala baki hampas sawit setelah diproses terdiri daripada 80% tidak dimanfaatkan untuk dijadikan sebagai produk baharu yang boleh meningkatkan pendapatan FELDA. Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu memaklumkan, sebuah pasukan bertemu dengan beliau menyatakan bahawa hampas sawit yang telah diproses itu mampu dijadikan sebagai gula. Tambah Ahmad Shabery, ada tiga jenis gula yang boleh dihasilkan antaranya gula glukosa, gula ‘arabinose’ dan gula ‘xylitol’. Setelah disemak oleh beliau, gula ‘xylitol’ merupakan gula yang mempunyai nilai perubatan yang tinggi dengan harga yang lebih lumayan berbanding gula biasa.  

FELDA merupakan satu institusi pembangunan tanah yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memajukan tanah-tanah yang berada di Malaysia. Usaha tersebut bagi membantu penduduk Malaysia khususnya masyarakat melayu mempunyai pendapatannya sendiri sebagai peneroka. Namun dalam tempoh 10 hingga 20 tahun kebelakang ini, FELDA sering mengalami situasi getir akibat ketidakstabilan kedudukan kewangan mereka. Maka proses menambah pendapatan FELDA dicetuskan seiring dengan reformasi institusi kerajaan dalam era Malaysia MADANI. – SelangorToday

Exit mobile version