SelangorToday

DASAR BAIK KABINET ANWAR TIDAK AKAN DIENDAHKAN JIKA….

Hampir dua tahun kepimpinan Anwar Ibrahim menerajui Malaysia, satu demi satu cabaran berjaya dihadapi oleh kerajaan perpaduan. Kalah menang dalam Pilihan Raya Kecil seolah-olah tidak memberi kesan kepada kesatuan parti-parti dalam kerajaan perpaduan.

HARAPAN, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gagasan Rakyat Sabah dan WARISAN seolah-olah memilih pendekatan untuk bertindak terkait dengan kerjasama politik apabila gendang Pilihan Raya Umum bermula kelak bukan semasa kerajaan sedang berjalan.

Negara telah berjaya diletakkan pada landasan yang sepatutnya meskipun ia sedang diganggu-gugat akibat api perkauman yang sering dimainkan. Dalam keadaan kerajaan dibela dan disokong oleh pelbagai institusi, ia tidak menggugat kerajaan tetapi sokongan pengundi melayu kepada kerajaan pula masih rendah. Ini harus diperbincangkan.

Kerajaan masih belum berupaya untuk merangkul undi orang melayu dengan kadar yang menyakinkan walau penggal parlimen ke-15 memasuki separuh masa kedua. Ledakan isu-isu perkauman yang dimainkan berjaya menghakis keyakinan rakyat kepada kerajaan sedang isu yang sedang dikelolakan kerajaan bersifat universal dan berpaksikan data dan fakta yang merentasi sentimen kaum, parti politik dan kepentingan diri.

Arus itu menekan kerajaan apabila setiap kali kerajaan meminda atau memperkenalkan dasar baharu, kelompok yang dikategorikan sebagai anti-kerajaan perpaduan akan memanipulasi isu tersebut agar dilihat mengganggu sesuatu kaum. Kesannya suhu perkauman di Malaysia memuncak, dan kejayaan kerajaan perpaduan dengan pelbagai dasar-dasar baharu diperkenalkan tenggelam.

Adakah Perdana Menteri tidak menyedarinya? Atau Pengerusi HARAPAN itu tidak merasakan perkara ini tidak penting buat masa ini dan boleh diketepikan buat seketika? Jika persoalan ini benar sebagai tanggapan Anwar, maka ia satu tanggapan yang salah oleh kerana, segala kejayaan yang dibuat oleh Anwar dan kabinetnya perlu mengatasi permainan kaum yang dijalankan oleh pihak tertentu bagi memastikan keyakinan rakyat dapat dipupuk secepat mungkin.

Mengapa ini diperlukan? Untuk memastkan rakyat khususnya orang melayu akan memilih pasukan Anwar dalam Pilihan Raya Umum kelak. Dengan pemilihan Anwar dan pasukannya, dasar yang mereka perkenalkan mampu diteruskan dengan baik dan manfaatnya akan dirasai rakyat dalam jangka masa panjang.

Sebaliknya apabila Anwar mahupun kabinetnya gagal membuatkan rakyat memilih mereka, lalu kelompok anti-kerajaan perpaduan memimpin kerajaan, bagaimanakah segala dasar Anwar hendak diteruskan? Disitu sahaja akan memadamkan fakta dalam sejarah bahawa Anwar seorang PM yang sangat berfungsi dan banyak jasa. Sebaliknya, umum akan melihat sepenggal Anwar di Putrajaya tiada satu benda baik pun yang dilakukan. 

Sebab itu tindakan Anwar memotong atau menamatkan terus peruntukan untuk mempublisitikan kerajaan melalui dasar Malaysia MADANI amat mengecewakan. Sedangkan itu langkah yang terbaik buat masa ini bagi meredakan ledakan perkauman yang dimainkan oleh kelompok tertentu. 

Istilah ‘propaganda harus dilawan dengan propaganda’ mesti menjadi senjata kerajaan hari ini. Tidak memanipulasikan duit untuk kepentingan peribadi, seharusnya kempen memperkasakan seluruh dasar kerajaan dan imej Malaysia MADANI wajar diperhebatkan melalui peruntukan dan pasukan yang berfungsi. 

Setelah dua tahun, adakah Malaysia MADAN membumi diakar umbi? Atau slogan 1 Malaysia, Malaysia prihatin, dan Keluarga Malaysia masih mengisi minda rakyat dan Malaysia MADANI tidak berjaya memasuki sanubari rakyat. 

PM tidak boleh melarikan diri untuk menjadi seorang ahli politik yang memerlukan kekuatan propaganda demi mengekalkan pengaruhnya. Sesiapa pun mengetahui Anwar tidak mengambil gaji sebagai seorang PM dan Menteri Kewangan, sesiapa pun menyedari tentang urustadbir baik yang Anwar arahkan kepada semua agensi kerajaan. Namun kesemuanya tidak akan dipedulikan oleh rakyat apabila isu perkauman menenggelamkan semua dasar baik kerajaan. 

Segala komitmen Anwar dan kabinetnya akan dianggap singgah sekali lalu sahaja dalam pengetahuan rakyat tetapi tidak mampu mengakar keyakinan kepada pasukan Anwar apabila elemen publisiti mahupun propaganda kerajaan tidak dijalankan secara besar-besaran. Akhirnya rakyat balik kepada sentimen perkauman, dan kekal tidak bersama kerajaan.

Tidak tepat apabila Anwar dan kabinetnya hanya menumpukan kepada urusan kerajaan semata-mata tetapi meninggalkan aspek publisiti dan propaganda. Sedangkan yang anti kepada kerajaan Anwar melabur jumlah wang yang besar bagi menenggelamkan karisma Anwar dan dasar-dasar kabinetnya.

Mahu tidak mahu juru propaganda kerajaan perlu bangkit dan mula bergerak dengan berkesan dan secepat mungkin. Apa sahaja indikatornya termasuk keputusan Sungai Bakap dan penilaian sokongan rakyat kepada kerajaan mesti menjadi asas mereka bergerak demi memastikan dasar baik anak jati Pulau Pinang itu dikekalkan. 

Adakah salah elemen Malaysia MADANI dimasukkan ke dalam institusi pendidikan sedangkan itu merupaka gagasan kerajaan yang perlu difahami dan dihayati baik pendidik mahupun anak didik? Berdosakah logo Malaysia MADANI serta perincian nilainya disampaikan ke pelusuk kampung disamping memperkenalkan inisiatif kerajaan? Sebagai kerajaan, aspek propaganda ini sangat penting dan perlu dilaksanakan segera.

Langkah PM tidak mahu sebarang aktiviti memperkasakan kempen Malaysia MADANI hanya akan memakan diri beliau dan kabinetnya apabila sudahlah dasarnya tidak dipedulikan rakyat, malah keyakinan rakyat juga terhakis kerana propaganda anti kerajaan sangat berpengaruh. 

Exit mobile version