Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor yang dilancarkan bulan lalu turut memberi penekanan kepada memperkasa penjaga golongan orang kurang upaya (OKU) termasuk kanak-kanak autistik.
EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata langkah itu bagi memastikan penjaga terbabit mendapat persekitaran lebih baik dan sokongan sewajarnya dalam menjaga golongan istimewa itu.
Menurutnya di bawah dasar berkenaan Kerajaan Negeri komited memperkasa penjaga serta memastikan kanak-kanak autistik mendapat persekitaran yang lebih baik dan sokongan sewajarnya.
“Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu membina ekosistem yang lebih mesra dan inklusif untuk kanak-kanak autistik dan keluarga mereka.
“Sokongan komuniti yang kuat adalah kunci bagi membantu keluarga ini menghadapi cabaran harian terutama dalam usaha menghapuskan stigma dan meningkatkan kesedaran,” katanya di Facebook.
Bulan lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor, antara persediaan menghadapi situasi negeri menua.
Menurut beliau, dasar itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu advokasi dan promosi, tata kelola dan kawal selia, penjaga terlatih dan tenaga kerja, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.
Dasar yang berlangsung sehingga 2030 mengambil kira aspek penjagaan warga emas, penjagaan kanak-kanak, OKU serta pengukuhan sokongan kepada komuniti penjaga yang formal dan tidak formal.-SelangorKini