SelangorToday

DASAR GAJI PROGRESIF DIJANGKA DILAKSANA APRIL ATAU MEI TAHUN DEPAN – RAFIZI

Dasar Gaji Progresif dijangka dilaksanakan pada April atau Mei tahun depan dan peruntukan kewangannya akan dimasukkan dalam Belanjawan 2024, yang akan dibentangkan Oktober ini. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata dasar itu sudah mendapat kelulusan secara prinsip daripada Kabinet dan pendekatannya perlu melalui pelbagai proses, termasuk membabitkan pihak berkepentingan.

“Kita juga akan melihat pada peringkat mana ia akan dilaksanakan, seperti kumpulan spesifik mana yang akan terbabit dan itu akan menggambarkan komitmen kewangan daripada kerajaan, namun Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah memberikan indikasi jumlah (kewangan yang bakal diperuntukkan).

“Kita akan melalui proses belanjawan dan akan ada indikasi dalam Belanjawan 2024. Sasaran bagi pelaksanaan kali pertama adalah pada April atau Mei, jadi ini bermakna peruntukan kewangan perlu dibuat untuk 2024 dan sebab itu pengumumannya akan dimasukkan dalam belanjawan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata, Kabinet akan membincangkan Dasar Gaji Progresif bagi memperhalusi pelaksanaannya secara berperingkat, selain meneroka keperluan memperuntukkan dana sebagai insentif dasar yang akan ditentukan mengikut kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan dasar.

Perdana Menteri berkata, dasar itu dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji pekerja dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten dan pengagihan gaji lebih seimbang.

Sementara itu, Rafizi berkata, beliau akan mengumumkan senarai 10 anggota Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara, esok, yang datang daripada pelbagai bidang kepakaran.

Katanya, ia kali pertama anggota majlis peringkat tertinggi seumpama itu dilantik dalam kalangan orang awam, bukan dipilih oleh menteri, sebelum dilantik Perdana Menteri seperti sebelum ini.

“Kita buka permohonan untuk keanggotaan majlis ini kira-kira tiga bulan lalu dan lebih 1,000 orang memohon.

“Kita menjalankan tapisan dalam tempoh dua ke tiga bulan lalu dan memilih 10 individu ini, yang akan bermesyuarat buat kali pertama pada Isnin ini dan turut disertai Perdana Menteri,” katanya.

Mengenai Program Kepimpinan Digital Eksekutif, Rafizi berkata, ia bertujuan memperkasa eksekutif di sektor awam dan swasta, dengan kemahiran kepemimpinan serta pengetahuan yang diperlukan untuk berkembang dalam ekonomi digital.

Katanya, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi program itu dan kira-kira 50 pegawai atasan pada peringkat sektor awam dan swasta akan menjalani program berkenaan selama tiga bulan di ASB.

Exit mobile version