
SHAH ALAM, 29 Mei 2025 – Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Selangor kini berada di fasa akhir sebelum dimuktamadkan pelaksanaannya, menandakan langkah penting ke arah sebuah negeri yang benar-benar inklusif dan mesra OKU.
Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS), Danial Al Rashid berkata, beliau bersama EXCO Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, YB Puan Anfaal Saari, serta wakil-wakil NGO dan Ahli Dewan Negeri Selangor telah menghadiri satu sesi penting bagi meneliti dan menyempurnakan kandungan dasar tersebut.

“Dasar ini bakal menjadi dokumen rujukan utama dalam memperjuangkan hak dan kesejahteraan golongan OKU di Selangor. Ia merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak dan dibina atas semangat Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD),” katanya.
Menurut Danial, sejak penubuhan Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) pada 2021 dan MTOS pada 2019, banyak kemajuan telah dicapai dalam memperkasa suara komuniti OKU melalui saluran yang lebih sistematik dan inklusif.
“Sebagai Pengerusi MTOS ke-3, saya amat berbesar hati melihat bagaimana suara komuniti OKU kini diangkat secara serius dalam proses penggubalan dasar negeri. Ini bukan penamat perjuangan, tetapi permulaan kepada perubahan sebenar yang akan dirasai rakyat,” ujar beliau.

Dasar ini dijangka memberi tumpuan kepada aspek pendidikan, pekerjaan, akses fizikal, mobiliti, kesihatan dan penglibatan komuniti, dengan matlamat untuk menjadikan Selangor sebagai negeri paling inklusif di Malaysia.
Inisiatif ini merupakan antara komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam menjayakan aspirasi #MalaysiaMADANI dan memastikan tiada kumpulan masyarakat yang tertinggal dalam arus pembangunan.