Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang membangunkan Dasar Sumber Manusia Negara yang turut merangkumi aspek kesihatan dan keselamatan pekerja serta aspek kesihatan mental di tempat kerja, kata Menterinya V.Sivakumar.
Beliau berkata pembangunan dasar itu merupakan langkah penting kerana isu berkaitan kesihatan mental menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung, justeru langkah intervensi amat diperlukan bagi menangani isu tersebut.
“Kita memang serius untuk bangunkan Dasar Sumber Manusia Negara dan konteks kesihatan mental juga akan diperhalusi,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Minda Sihat Hidup Sejahtera di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di sini hari ini.
Sivakumar berkata jumlah kes psikososial – yang menggambarkan hubungan antara keadaan sosial dengan kesihatan mental atau emosi seseorang kerja yang dilaporkan adalah kecil kerana tahap kesedaran rendah. di tempat
Menurut Statistik Penyakit Pekerjaan Negara 2022, hanya satu kes psikososial dilaporkan tahun lepas berbanding penyakit pekerjaan lain seperti gangguan pendengaran, jangkitan kuman dan penyakit paru-paru.
Menurut Sivakumar, NIOSH menjalankan beberapa inisiatif termasuk Program Bantuan Pekerja (EAP) yang bertujuan membantu mengenal pasti dan menangani masalah kesihatan mental pekerja di peringkat awal agar prestasi mereka di tempat kerja tidak terjejas.
EAP menawarkan modul melibatkan sokongan rakan sekerja, terapi santai menggunakan peralatan realiti maya, analisis gelombang otak dan sesi kaunseling secara berkumpulan atau individu.
– BERNAMA