
Dasar Wanita Selangor 2024-2025 akan dijadikan asas kepada kerajaan negeri Selangor dalam mencapai aspirasi wanita bekerjaya di Selangor. Kata Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, dasar yang dirangka kerajaan negeri itu antaranya akan menggalakkan pekerjaaan anjal atau flexible working arrangement supaya wanita terlepas daripada ‘motherhood penalty’.
Perkara lain juga adalah memberikan insentif untuk wanita kembali bekerja supaya wanita di boleh terus berkerjaya dan membina legasi. Anfaal yang juga Timbalan Ketua Wanita AMANAH Nasional berkata sedemikian ketika merasmikan sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Negeri Selangor bagi tahun 2025.

Dalam pada itu, melalui Pusat Wanita Berdaya yang diwujudkan bagi setiap DUN akan melaksanakan program-program untuk membina kapasiti wanita bagi membolehkan wanita menjana ekonomi.
Tambah ADN Taman Templer itu, sambutan Hari Wanita ini khas untuk menghargai kelompok wanita termasuk ibu tunggal.
“puan-puan, membesarkan anak merupakan suatu kerja yang mencabar. Membesarkan anak di Selangor-KL merupakan sesuatu yang sukar. Membesarkan anak di Selangor-KL tanpa suami?” katanya.
Anfaal berkeyakinan bahawa tamadun yang berjaya bermula dengan wanita yang berjaya. Justeru beliau menyeru semua pihak berganding bahu dalam memperkasakan aspirasi wanita berkerjaya di Selangor. –SelangorToday