Anugerah Seniman Negara dianugerahkan kepada Datuk Lat pada Majlis Anugerah Seni Negara (ASN 2024).
Lat atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid menzahirkan rasa penghargaan atas pengiktirafan tersebut dan berharap ia mmenjadi pendorong kepada generasi muda yang meminati seni lukis dan komik.
“Individu yang terlibat dalam usaha seni di negara kita ini ramai, rakan-rakan saya yang saya kenal, ada yang saya tak kenal tapi semuanya berusaha daripada tukang kayu sampailah ke pelukis dan juga mereka yang menulis cerita-cerita yang mendapat ilham yang sungguh bagus yang kita tak pernah terfikir terdapat di negara kita.
Nak bagi dorongan pada angkatan sekarang ini, generasi yang terkini dan juga kepada generasi akan datang iaitu dalam seni lukis komik kartun penulisan semuanya memang mustahak bagi negara,” kata Datuk Lat kepada pemberita, malam tadi.
Dalam majlis sama, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima Anugerah Khas Biduanita Negara 2024.
Beliau mengakui penganugerahan tersebut adalah pengiktirafan terbesar dalam kerjaya seninya sepanjang hampir 30 tahun serta menyifatkan anugerah itu mewakili kerja keras dan usaha semua anak seni.
“Sebagai manusia, kita berperanan dan juga kita harus memberi sumbangan dalam setiap apa yang kita lakukan dan ini sebahagian daripada sumbangan saya pada bidang seni. apa yang saya dapat malam ni pun sebenarnya kejayaan juga untuk karyawan seni di luar sana saya juga mewakili usaha keras mereka.
Saya akan berikan yang terbaik selagi saya dalam industri ini, membanggakan nama malaysia, memberi sesuatu yang positif bukan saja untuk diri saya tapi untuk masyarakat dan juga untuk negara,” kata Datuk Seri Siti Nurhaliza kepada pemberita. – Berita RTM