KUALA LUMPUR, 26 Mei 2025 – Dalam satu detik penuh bersejarah, pemimpin ASEAN telah menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur, ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, yang menjadi lambang kesepakatan dan harapan untuk masa depan rantau ini yang lebih inklusif, sejahtera dan berdaya tahan.
Deklarasi yang dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara ini mencerminkan iltizam teguh negara anggota untuk terus berpaut kepada semangat Piagam ASEAN, menjelang ulang tahun ke-58 penubuhan organisasi serantau itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dokumen ini sebagai pelan hala tuju jangka panjang untuk membentuk ASEAN yang lebih dinamik dan berpaksikan rakyat menjelang tahun 2045.
“Masa depan yang kita impikan adalah masa depan yang adil, mampan dan inklusif. ASEAN tidak boleh hanya menjadi sebuah blok ekonomi, tetapi harus menjadi sebuah komuniti yang mengangkat maruah dan potensi setiap warganya,” ujar beliau dalam ucaptama majlis menandatangani deklarasi tersebut.

Beliau menekankan keperluan untuk merapatkan jurang pembangunan antara negara anggota, meningkatkan taraf hidup rakyat, dan menanam pelaburan dalam potensi insan — sebagai teras kepada pembangunan bersama.
Selesai ditandatangani, deklarasi berkenaan diserahkan secara rasmi kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, sebagai simbol solidariti dan komitmen bersama dalam merealisasikan visi ASEAN yang lebih bersatu dan makmur.
Deklarasi Kuala Lumpur, ASEAN 2045: Masa Depan Bersama ini juga menggantikan visi terdahulu, ASEAN 2025: Maju Bersama ke Hadapan, yang dirumuskan sewaktu Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun 2015.
Dengan semangat kebersamaan yang terus subur, ASEAN kini melangkah ke hadapan, bukan hanya sebagai sebuah blok serantau, tetapi sebagai keluarga besar yang mendakap nilai kemanusiaan, keamanan dan kemajuan bersama.