Kerajaan Negeri Sembilan berhasrat mempelajari kaedah pengurusan agromakanan selain mengetahui lebih lanjut mengenai penubuhan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata Negeri Sembilan tidak mempunyai satu badan khas seperti PKPS yang bertanggungjawab menguruskan sektor pertanian dan sekuriti makanan.
“Hari ini kita berkongsi pengalaman dan sedikit kepakaran yang kita ada kepada mereka untuk membangunkan sebuah agensi atau perbadanan seperti PKPS.
“Insya-Allah, ini bukan pertemuan pertama dan akan ada beberapa lagi kerjasama selepas ini. Kita harap Negeri Sembilan berjaya membangunkan sebuah badan yang sesuai selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan mesyuarat antara Kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan pada kunjung hormat di Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di sini.
Delegasi Negeri Sembilan dihadiri 17 orang yang diketuai EXCO Kanan Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Jalaludin Alias.
Sementara itu, Jalaludin berkata pihaknya melihat Selangor mempunyai sebuah badan yang kukuh dan berpengalaman dalam menguruskan keterjaminan dan sekuriti makanan.
“Negeri Sembilan belum ada sebuah perbadanan rasmi seperti PKPS, ini merupakan satu perkara penting yang harus diambil kira demi kepentingan rakyat.
“Hasil perbincangan agak panjang dan ini merupakan satu kerjasama yang kita boleh wujudkan antara Negeri Sembilan dan Selangor untuk membantu kita berkaitan penubuhan perbadanan,” katanya. -SelangorKini