
Parti Amanah Negara (AMANAH) menyatakan komitmen penuh untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh Kerajaan Perpaduan.
Keputusan itu diumumkan susulan Mesyuarat Jawatankuasa Induk PRK N.48 Ayer Kuning yang berlangsung hari ini di Tapah, Perak, melibatkan kepimpinan tertinggi AMANAH.
Naib Presiden AMANAH, YB Dato’ Wira Dr. Hatta Ramli dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk PRK berkenaan, manakala Pengarah Pilihan Raya AMANAH Nasional merangkap Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Hj Mohd Sany Hamzan, bertindak sebagai Timbalan Pengarah Induk.
Menurut Mohd Sany, jentera AMANAH telah berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi PRK tersebut. Gerak kerja besar-besaran melibatkan jentera dari seluruh negeri termasuk dari luar Perak akan digerakkan ke kawasan Ayer Kuning bagi membantu kempen calon BN.

“Walaupun AMANAH pernah bertanding di kawasan ini dalam pilihan raya yang lalu, kali ini kami memilih untuk berdiri teguh bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan sebagai satu isyarat jelas mengenai kesepakatan politik demi kestabilan negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah beliau, kerjasama erat antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan diyakini mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap pentadbiran sedia ada.
PRK DUN N.48 Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan kerusi tersebut dan dijangka menjadi tumpuan penting bagi menguji kekuatan serta persefahaman antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.