
KUALA LUMPUR, 13 Jun 2025 — Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil, menyelar tindakan pemimpin PAS yang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther.
Menurut Faiz, desakan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dan beberapa pemimpin lain adalah bersifat hipokrit memandangkan PAS sendiri tidak mengambil pendirian serupa terhadap pemimpin mereka yang sedang disiasat dan didakwa dalam kes menghina institusi Diraja.
“PAS berhujah kononnya demi menjamin integriti siasatan polis terhadap Anwar Ibrahim, tetapi apabila pemimpin mereka sendiri disiasat di bawah Akta Hasutan kerana menghina Sultan, tiada sebarang desakan agar mereka berundur bagi menjaga integriti institusi Diraja. Ini jelas sikap pilih kasih dan hipokrasi politik,” kata Faiz dalam kenyataannya hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi semalam sebenarnya menunjukkan ketelusan dan prinsip tidak campur tangan Anwar Ibrahim dalam urusan kehakiman, selaras dengan agenda reformasi kerajaan perpaduan yang dipimpinnya.
“Keputusan mahkamah semalam memperlihatkan bahawa badan kehakiman bebas membuat keputusan tanpa sebarang tekanan atau pengaruh politik daripada Perdana Menteri. Ini sepatutnya disambut baik, bukan diputar belit demi agenda politik sempit,” katanya.

Faiz turut menepis kenyataan beberapa pemimpin PAS yang mendakwa saman boleh difailkan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas dakwaan tidak menyiasat Anwar Ibrahim. Beliau menjelaskan bahawa Ketua Polis Negara sendiri, Tan Sri Razarudin Husain, telah mengesahkan siasatan awal terhadap laporan tersebut sudah dijalankan.
“Dalam undang-undang, untuk menyaman pihak polis, perlu dibuktikan wujudnya niat jahat. Tanpa bukti campur tangan atau pengaruh luar, bagaimana niat jahat boleh ditentukan?” soal beliau.
Beliau menambah bahawa prinsip undang-undang jenayah menekankan keperluan siasatan berlandaskan bukti yang relevan, bukan spekulasi politik.
“Tindakan PAS mempolitikkan keputusan Mahkamah Tinggi hanyalah cerminan sikap terdesak mereka. PAS seharusnya lebih adil dan konsisten dalam pendirian politiknya. Keadilan bukan sahaja perlu dilaksana, malah mesti dilihat dilaksanakan,” tegas Faiz.
Kenyataan Faiz ini dilihat sebagai reaksi balas tegas terhadap percubaan PAS untuk menggugat kestabilan politik kerajaan perpaduan melalui naratif yang dianggap berat sebelah dan bermotif politik.