SelangorToday

DEWAN NEGARA DAN SELURUH RAKYAT MALAYSIA MENGUTUK SEKERASNYA TINDAKAN ZIONIS

Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara, Dr. Mujahid Yusof Rawa merakamkan pendirian di Dewan Negara hari ini dengan mengutuk sekeras-kerasnya tindakn rejim Zionis Israel terhadap pembunuhan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh. Berbahas ketika penerangan Menteri Luar Malaysia, Mohamad Hasan berkaitan Serangan Israel di Iran yang menyebabkan kematian pemimpin Hamas itu, Dr. Mujahid menegaskan, pejuang-pejuang mempertahankan Palestin telah pun bersedia dari awal untuk menemui penciptanya. Maka tidak menjadi kekesalan bagi mereka yang gugur dalam perjuangan ini.

Namun kejadian ini telah menggerakkan Dewan Negara ini untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab Zionis Israel. Kutukan ini kata Dr. Mujahid bukan terhad kepada Dewan Negara sahaja, malah merangkumi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, kaum dan pegangan politik atas tindakan yang bersifat kebinatangan rejim tersebut. Beliau juga berkata, gugurnya pemimpin Hamas itu tidak akan melenyapkan semangat juang pemimpin yang mempertahankan Palestin, sebaliknya gugur setitis darah pejuang Palestin akan melahirkan seribu lagi pejuang menggantikan mereka.

Pengerusi HARAPAN Perak itu juga mengucapkan terima kasih atas komitmen Menteri Luar dan Kerajaan Malaysia yang akan mengangkat pendirian Malaysia ini di peringkat antarabangsa bagi memastikan tindakan Zionis Israel ini dihentikan dan dikenakan tindakan yang sepatutnya. – SelangorToday

Exit mobile version