KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah proaktif dengan menambah stok simpanan beras negara sehingga mencukupi bagi tempoh sembilan bulan, sebagai usaha memperkukuhkan jaminan bekalan makanan negara di tengah ketidaktentuan geopolitik global.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu selepas menghadiri sidang media pasca Mesyuarat Kabinet Khas berkaitan perkembangan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.
Menurut beliau, keputusan Kabinet untuk meningkatkan stok simpanan beras merupakan langkah penting bagi memastikan bekalan makanan negara terus stabil dan tidak terjejas walaupun dunia sedang berdepan ketegangan geopolitik.
“Untuk bekalan beras, Kabinet telah bersetuju supaya stok simpanan negara ditambah sehingga cukup bagi tempoh sembilan bulan akan datang,” katanya.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa bekalan makanan asas negara ketika ini berada dalam keadaan mencukupi, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Menurutnya, bekalan makanan seperti beras, ayam, telur, ikan, daging lembu dan kerbau, susu segar, sayur-sayuran serta buah-buahan dijangka mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei dan Jun tahun ini.
Sehubungan itu, rakyat diminta supaya tidak panik atau membuat pembelian berlebihan kerana kerajaan sentiasa memantau rantaian bekalan makanan negara.
Dalam pada itu, kementerian juga akan terus mempergiatkan pelaksanaan Program Jualan AgroMADANI bagi membantu rakyat mendapatkan barangan makanan pada harga lebih rendah, dengan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar menyambut Aidilfitri secara sederhana dan mengamalkan budaya berjimat cermat seperti yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Insya-Allah kementerian akan terus menambah sumber bekalan makanan supaya rakyat tidak terjejas dan bekalan makanan negara sentiasa terjamin demi kesejahteraan rakyat,” katanya.