Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menafikan ada larangan membabitkan EXCO pertanian di negeri diterajui pembangkang dalam sebarang program anjuran kementerian berkenaan.
Beliau sebaliknya menyifatkan dakwaan EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim itu sebagai suatu pembohongan.
“Kita tidak ada apa-apa arahan. Mereka suka berbohong,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Azman yang menyatakan menerima isyarat mengenai arahan tidak bertulis melarang pembabitan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu dalam sebarang program anjuran agensi Persekutuan itu di Terengganu.
Azman menerusi kenyataan di laman Facebooknya, malam tadi, mendakwa isyarat berkenaan dikemuka beberapa ketua jabatan dan agensi seliaan kementerian terbabit di Terengganu.