SelangorToday

Diam Muhyiddin Ibarat Lindungi Menantu Dalam Skandal Kewangan – Mahfuz

PITAS, 25 Okt – Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mahfuz Omar, menempelak bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa berdiam diri dalam isu siasatan terhadap menantunya, Muhammad Adlan Berhan, sambil menyifatkan sikap itu sebagai cubaan melindungi daripada tindakan undang-undang.

Mahfuz berkata, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan pasport Adlan membuktikan siasatan skandal kewangan besar yang melibatkan menantu Muhyiddin semakin serius. Malah, pasport tersebut telah pun dibatalkan dan SPRM kini memohon bantuan Interpol untuk menjejaki Adlan.

Namun, menurut Mahfuz, apa yang lebih mengecewakan ialah sikap berdiam diri Muhyiddin yang dilihat enggan membantu pihak berkuasa mengesan keberadaan menantunya.

“Adalah mustahil seorang bapa mentua, apatah lagi bekas Perdana Menteri, tidak tahu di mana menantunya berada. Diamnya Muhyiddin bukan tanda tidak tahu tetapi tanda mahu melindungi,” tegas Mahfuz.

Beliau turut membidas hipokrasi pemimpin politik yang sering melaungkan integriti dan perjuangan Islam, tetapi gagal menunjukkan ketelusan apabila melibatkan ahli keluarga sendiri.

“Rakyat sudah muak dengan pemimpin yang kononnya berjuang atas nama Islam, tapi bila terkena pada keluarga sendiri, terus tutup mulut dan tutup mata. Inilah wajah sebenar politik munafik,” katanya lagi.

Mahfuz menegaskan, tiada siapa harus kebal di sisi undang-undang, termasuk bekas Perdana Menteri. Beliau mendesak agar pihak berkuasa terus bertindak tanpa rasa gentar dan menyiasat sekiranya wujud cubaan menghalang siasatan atau menyembunyikan maklumat penting.

“Bila kena orang lain, Muhyiddin lantang cakap soal integriti. Bila kena menantu sendiri, terus hilang suara. Jangan jadi wira di mimbar, tapi penakut bila depan SPRM,” sindir Mahfuz dengan nada sinis.

Beliau menutup kenyataan dengan mengingatkan bahawa Islam tidak pernah mengajar untuk melindungi kesalahan keluarga, sebaliknya menuntut keadilan ditegakkan tanpa pilih kasih.

“Islam tidak ajar lindungi salah keluarga, hanya politikus hipokrit yang buat begitu,” katanya.

Exit mobile version