
Suhu politik negeri dibawah bayu makin hangat seiring dengan semakin pendeknya tempoh penggal ke-15 DUN Sabah. Beberapa blok politik di Sabah dikira seakan-akan telah pun menemui jalan yang bakal mereka pilih dalam pilihan raya kali ini.
Parti Warisan Sabah(WARISAN) yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak semasa PRN 2020 dilihat nekad untuk bergerak solo dan akan berhadapan dengan semua blok yang ada demi menobatkan mereka sebagai parti terunggul sekali lagi.
Manakala Gagasan Rakyat Sabah atau GRS selaku penyandang utama kerajaan Sabah perlu bergerak lebih terhormat dan berwibawa kali ini demi mempertahankan kedudukannya. Namun akibat Langkah Kinabalu yang digerakkan seawal tahun 2023 menemui kegagalan, rentak dan perjalanan kerajaan GRS lebih serasi bersama Pakatan Harapan.

Walau bagaimanapun, hegimoni terlama yang memerintah Sabah iaitu UMNO-BN kelihatan masih tercari-cari arah tuju atau rakan kerjasama yang akan mereka pilih kali ini. UMNO-BN memerintah Sabah sejak tahun 1994 sehinggalah 2018. Meskipun pada awalnya sistem giliran Ketua Menteri dikuatkuasakan antara UMNO, SAPP, PDS dan LDP, namun UMNO lah parti tunjang kerajaan BN.
Pun begitu ‘revolusi tanpa darah’ yang berlaku di seluruh negara termasuk Sabah, telah meruntuhkan kerajaan pimpinan Musa Aman sekaligus menafikan penguasaan UMNO-BN sejak ianya ditubuhkan di Sabah. Dengan kedudukan 50-50 antara BN dan WARISAN Plus(PH-UPKO), nasib lebih condong kepada Shafie Apdal untuk diangkat sebagai Ketua Menteri yang baharu. Sejak itu UMNO-BN bergelar pembangkang di Sabah sehinggalah PRN 2020.
Memahami gelagat dan tingkah laku UMNO-BN Sabah hari ini, boleh dikatakan mereka sedang terdesak atau berada dalam kebuntuan untuk memilih strategi yang paling ampuh buat UMNO-BN. Seperti yang dikatakan sebelum ini, UMNO-BN bukan blok picisan, ia blok yang mempunyai wibawa dan kedudukannya tersendiri kerana pernah memerintah Sabah begitu lama. Justeru pilihan yang perlu dibuat kali ini amat penting buat UMNO-BN Sabah.

Ada dua sebab utama mengapa pertempuran kali ini dikira genting dan penting buat UMNO-BN. Pertama pilihan yang dibuat oleh UMNO-Sabah mestilah mendatangkan keuntungan atau kelebihan buat parti keramat itu dari segi jumlah kerusi yang ditandingi serta penguasaan dalam pentadbiran kerajaan. Erti kata lain, UMNO-BN mahu bertanding lebih banyak kerusi berbanding rakan kerjasama serta diangkat sebagai Ketua Menteri kerajaan baharu kelak.
Sebab kedua, jika pilihan-pilihan yang ada tidak mencondongkan kemenangan lebih besar buat UMNO-BN atau jumlah kerusi yang dikuasai sebelum ini berkurang, ini akan melemahkan momentum UMNO-BN diseluruh negara yang sedang pesat bangkit semula sebagai parti politik berpengaruh. Keyakinan ahli UMNO atas kemenangan beberapa siri Pilihan Raya Kecil telah berjaya ditingkatkan. Maka kekalahan atau kemerosotan prestasi UMNO-BN di Sabah akan merencatkan perkembangan tersebut untuk UMNO-BN berhadapan dengan Pilihan Raya Umum kelak.
Sebab itu dilema yang dihadapi oleh UMNO-BN Sabah lebih parah berbanding blok-blok politik yang lain. WARISAN yang dilihat terpinggir dari arus kerajaan perpaduan memilih jalan ‘berani mati’ atau ‘bersedia untuk kehilangan apa sahaja’ atas pilihan bergerak solo. GRS pula sebagai kerajaan memerintah hanya ada satu pilihan iaitu bertahan dan bertempur dengan sesiapa sahaja yang ingin beradu tenaga dengannya baik sedikit mahupun banyak.

Oleh itu UMNO-BN berada pada kedudukan yang amat mecemaskan untuk memilih jalan mereka memasuki gelanggang yang bakal dibuka tidak lama lagi. Apa pilihan yang tersedia buat UMNO-BN?
Pertama, tentunya pucuk pimpinan utama kerajaan perpaduan diperingkat persekutuan mahu UMNO-BN bersama dengan PH yang sedang selesa bersama GRS. Pilihan ini memberi banyak markah kepada BN untuk kekal sebagai kerajaan negeri tetapi bukanlah sebagai ketua kerajaan kerana ura-ura jumlah kerusi yang bakal ditandingi jika BN, GRS dan PH berpakat adalah sama banyak. Pembahagian kerusi antara ketiga-tiga blok ini mungkin tidak disukai oleh BN.
Bagaimana pula jika bersama WARISAN? Semestinya, jika UMNO-BN memilih WARISAN sebagai sekutu, UMNO-BN akan mendapat jumlah kerusi yang lebih banyak berbanding jumlah kerusi yang diperuntukkan jika berpakat dengan GRS dan PH. Ini kerana, jumlah keseluruhan kerusi yang ditandingi akan diagihkan antara BN dan WARISAN sahaja. Namun, tembok yang menghadang kerjasama ini adalah WARISAN mempunyai ‘poster boy’ yang berpengaruh sebagai calon Ketua Menteri iaini Shafie Apdal. Sudah tentu jika kerjasama ini berjaya membentuk kerajaan, Shafie akan diangkat sebagai Ketua Menteri berbanding pimpinan UMNO-BN.

Kedua-dua pilihan ini melorongkan UMNO-BN gagal mencapai kedudukan yang dimahukan seperti mana sebab-sebab pentingnya pilihan yang telah disenaraikan sebelum ini. Pilihan-pilihan ini akan mengurangkan jumlah kerusi yang UMNO-BN bakal tandingi, kurang penguasaan dalam kerajaan negeri serta menggagalkan peluang UMNO-BN diangkat sebagai Ketua Menteri.
Pilihan ketiga adalah bersama dengan Perikatan Nasional Sabah. Walau bagaimanapun, pilihan ini amat sukar dilaksanakan dan tidak menampakkan kecenderungan UMNO-BN bersama PN. Sebab utama ialah bersama PN bererti melemahkan kerajaan perpaduan di Putrajaya, sepatutnya BN memilih blok yang memang ada dalam kerajaan perpaduan seperti GRS atau PH mahupun WARISAN untuk bekerjasama.
Justeru pilihan yang terhidang buat UMNO-BN untuk bekerjasama mempunyai kelebihan dan kekurangannya buat parti pimpinan Ahmad Zahid Hamidi dan Bung Mokhtar itu.

Adakah bergerak secara solo akan menjadi pilihan terakhir buat UMNO-BN. Dijangka pergerakan secara solo tidak akan membuahkan hasil yang lebih lumayan kerana BN yang ada hari ini tidak sama kekuatan dan keutuhan seperti di zaman era 90an dan 2000an.

Harus diingat UMNO-BN telah pun berpecah kepada beberapa kelompok termasuk Shafie yang menubuhkan WARISAN, Hajiji Noor yang menubuhkan PGRS serta Anifah Aman yang menubuhkan PCS. Kesepaduan UMNO-BN yang ada sehingga mengekalkan pemerintahan selama 24 tahun itu sudah terlerai sejurus pimpinan berpengaruh UMNO-BN membuat haluan melalui parti masing-masing.
Jadi dilema UMNO-BN Sabah amat menekankan pimpinan utama mereka termasuk ahli dan penyokong untuk memasuki fasa PRN.