Sebagai pertubuhan yang berusia lebih 50 tahun, Pertubuhan Peladang Kebangsaan(NAFAS) menjadi nadi dan pemangkin kepada industri perladangan dan pertanian di Malaysia. NAFAS diwujudkan sebagai platform kepada para petani di Malaysia untuk memperoleh pendapatan yang lebih bermakna malah mengangkat industri tersebut kepada salah satu penyumbang besar kepada ekonomi Malaysia.
Namun begitu, memasuki usia yang dewasa, bukan sahaja pendekatan dan strategi untuk memperkasakan kehidupan peladang dan perniagaannya masih belum berubah sebaliknya, kewujudan pelbagai subsidiari dibawah NAFAS belum mampu menjana pendapatan yang besar dan berdikari sendiri. Sebaliknya, operasi perniagaan mereka masih bergantung kepada dana yang diperuntukkan oleh kerajaan.
Umum mesti memahami bahawa sejak Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri dengan wajah politik yang berubah, usaha dan tekad Malaysia untuk memperkukuhkan semula institusi negara dan isinya menjadi tumpuan utama. Setiap segi, lapisan dan sektor telah pun menerima ledakan gagasan MADANI yang menumpukan kepada reformasi dan tatakelola yang baik dalam pentadbiran bagi menjana pertumbuhan negara yang mampan.
Maka NAFAS juga sebagai tonggak industri pertanian negara tidak boleh terpinggir daripada ledakan MADANI ini. Malah memandangkan NAFAS juga lebih dianggotai oleh masyarakat melayu, perubahan ke arah kemajuan NAFAS secara tidak langsung memajukan ekonomi orang melayu. Dengan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah meletakkan seorang pakar teknologi dan korporat sebagai Pengurus Besar baru NAFAS.
Baru-baru ini, Muhammad Faris Arriffin telah ditemu bual oleh akhbar WilayahKu untuk merungkai tekad dan aspirasi beliau setelah diberikan amanah sebagai Pengurus Besar NAFAS. Tokoh korporat muda yang penuh dengan pengalaman dalam sektor korporat dipertanggungjawabkan oleh Hj Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminanan Makanan menstruktur semula organisasi NAFAS dan membentuk hala tuju baru kepada NAFAS dan anak-anak syarikatnya.
NAFAS yang memimpin 14 Pertubuhan Peladang Negeri(PPN), 280 Pertubuhan Peladang Kawasan(PPK) dan 921,931 ahli peladang mempunyai struktur yang rencam dan pelbagai menyulitkan badan ini menyelaraskan isu untuk memacu perubahan. Oleh demikian, kehadiran Faris dilihat sebagai satu sinergi antara NAFAS, Lembaga Pertubuhan Peladang(LPP) dan KPKM dalam memulakan reformasi terhadap NAFAS.
Apa yang lebih mustahak, usaha Faris bukan hanya terletak kepada perubahan organisasi semata-mata, ia juga membentuk satu pemikiran yang lebih luas dan konstruktif dalam menjalankan kegiatan industri pertanian dibawah NAFAS.
Hal ini jelas apabila Faris mahu NAFAS pada masa akan datang tidak lagi terlalu bergantung kepada dana kerajaan semata-mata, namun merubah struktur pemikiran dengan menjalankn operasi pertanian dan perniagaan yang akan menjana untung yang besar. Perolehan yang besar akan membolehkan NAFAS memusing semula modal yang ada dan menjana pendapatan baharu. Dalam masa sama, perubahan kepada arah tuju NAFAS untuk menjadi pesaing industri diperingkat global akan mendorong petani dan peladang bersedia berubah ke arah pendekatan yang lebih moden dan berkesan.
Cabaran industri pertanian yang semakin pelbagai pada masa kini dan akan datang menjadi salah satu aspek yang ditekankan oleh Faris dalam mengemudi reformasi NAFAS. Sebagai pemimpin berpandangan jauh dan ikhlas menjaga nasib petani dan peladang, NAFAS wajar melakukan pelbagai persediaan menghadapi cabaran itu termasuk perubahan iklim, pergolakan geopolitik dunia dan keperluan negara.
Ada pun seperti ulasan diawal tadi, NAFAS dan petani serta peladang ibarat sedang berada dalam dilema yang memerangkap mereka untuk berubah. Seharusnya dalam arus reformasi yang sedang berjalan di Malaysia, NAFAS tidak wajar ketinggalan dan perlu sama-sama seiring dengan kerajaan MADANI. FELDA dan MARA antara institusi bumiputera yang telah mula menerima ledakan tersebut, dan adanya Faris di NAFAS, akan memberi rangsangan hebat kepada NAFAS untuk melakukan perubahan.
Dalam era Malaysia MADANI ruang untuk melakukan reformasi dari sudut tatakelola, pemikiran dan strategi NAFAS dan penerajunya wajar diberikan seluas-luasnya, ini bagi memastikan proses pembangunan dan kemajuan semua agensi kerajaan terutamanya yang dianggotai lebih ramai orang melayu tercapai.
Ia juga seiring dengan gagasan atau tekad Hj Mohamad bin Sabu melalui kementerian dan partinya yang mahu semua pihak bersifat progresif dimana bersedia melakukan perubahan ke arah penambahbaikkan bagi menjana peluang dan ruang baharu kepada industri pertanian negara.
Oleh itu, usaha Faris untuk mereformasikan NAFAS dan seluruh institusinya wajar diteruskan dan tiada sebarang gangguan harus berlaku. Demi menyelesaikan dilema peladang, memperkasakan industri pertanian dan mencapai negara maju kelak, Faris harus diberikan ruang untuk melakukan sehabis baik tugasnya di NAFAS.