Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional yang baharu, Danial Al-Rashid Harun berikrar akan memperkuatkan struktur organisasi Pemuda AMANAH Nasional sambil meningkatkan partisipasi anggota pemuda. Danial bersama pasukan Pemuda AMANAH akan mencipta platform yang membolehkan idea dan aspirasi pemuda didengari. Pemilihan Pemuda AMANAH peringkat nasional telah diadakan pada 16 Disember lalu yang memperlihatkan, pasukan gandingan Hasbie selaku penyandang Ketua Pemuda dan Danial selaku muka baharu dalam pemilihan berjaya menempatkan hampir 80% daripada 27 calon yang terpilih. Ini membolehkan Hasbie dan Danial mudah dilantik sebagai Ketua dan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH yang baharu.
Dalam masa yang sama, Danial juga bertekad untuk meningkatkan keterampilan dan pengetahuan pemuda dalam ranah politik dan sosial dengan meluncurkan program latihan dan workshop yang mendalam untuk mempersiapkan mereka menghadapi tuntutan dan tanggungjawab kepimpinan di masa depan. Jelas beliau, semasa memimpin sayap kanan Parti AMANAH Negara diperingkat Negeri Selangor, Danial telah membuktikan bahawa proses persediaan ahli denganpengetahuan pentadbiran kerajaan berjaya melahirkan ramai lantikan politik yang berwibawa. Saranan ini seiring dengan tema Pemuda AMANAH yang mahu menuju era baharu yang lebih mampan untuk PRU ke-16.
Ahli Dewan Negeri, Batu Tiga itu amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepada beliau dan berjanji untuk melunaskan tanggungjawab sehabis baik. Beliau berharap peranan yang dimainkan oleh beliau dapat membawa Pemuda AMANAH menuju kearah yang lebih progresif dan berdaya saing demi mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi PRU ke-16 dengan keyakinan dan pemahaman isu-isu penting masyarakat. Danial menyeru semua ahli Pemuda AMANAH bersatu, berinovasi dan berdedikasi untuk membangunkan masa depan yang lebih baik bagi generasi muda dan negara. – SelangorToday