Dalam suasana politik yang penuh perbezaan, ada kecenderungan segelintir pihak menjadikan doa sebagai senjata politik, termasuk mendoakan bala atau kebinasaan kepada musuh politik. Namun, tindakan ini bercanggah dengan semangat Islam yang menyeru kepada keadilan, rahmat, dan kasih sayang sesama umat.
Islam melarang mendoakan keburukan terhadap seseorang tanpa sebab yang sah, apatah lagi jika individu itu seorang Muslim. Al-Qur’an menyatakan:
“Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Itu lebih hampir kepada takwa.”
(Surah al-Māidah: 8)
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam berhadapan dengan musuh politik atau perbezaan pandangan. Ketika dihina dan dicederakan, Baginda tidak membalas dengan doa kebinasaan. Sebaliknya, Baginda berdoa:
“Ya Allah! Berikan petunjuk kepada kaumku, kerana mereka tidak mengetahui.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Malah ketika para sahabat meminta Rasulullah SAW agar mendoakan kebinasaan ke atas orang kafir Quraisy, Baginda menolak dan menjawab:
“Sesungguhnya aku diutus bukan untuk melaknat, tetapi sebagai rahmat.”
(Riwayat Muslim)
Doa yang diucap tanpa hak adalah bentuk kezaliman. Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa mendoakan keburukan kepada saudaranya Muslim tanpa hak, maka seolah-olah dia sendiri mendoakan keburukan kepada dirinya.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Dalam kerangka Malaysia Madani, konsep ihsan atau ehsan perlu dijadikan asas kepada kehidupan bernegara. Ihsan bermaksud berbuat baik, walaupun kepada yang tidak sehaluan. Firman Allah:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat ihsan…”
(Surah an-Naḥl: 90)

Islam menganjurkan agar kita mendoakan kebaikan dan hidayah, bukan kehancuran. Dalam hal perbezaan politik, umat Islam harus mengekalkan adab dan akhlak, bukan menuruti emosi. Doa adalah senjata orang beriman dan bukan untuk membinasakan sesama umat, tetapi untuk membina kasih sayang, keadilan dan perpaduan.
Namun Doa bala diharuskan kepada musuh-musuh umat Islam yang membunuh dan menindas umat Islam seperti yang berlaku di Palestin dan Syria sebelumnya adalah wajar dan berlandaskan syarak.

Semoga negara kita terus dirahmati dan dilindungi dari bahaya musuh negara dan kejahatan.
Adalah wajar perbezaan pandangan politik diurus dan dikendalikan secara dialog dan wacana atau perbahasan yang sihat dan bernas dengan hujjah ilmiah dan berfakta di medan Dewan Rakyat dan Dewan negara dan bukan dengan doa laknat dan doa bala.
Shamsul Ma’arif Ismail
Timbalan Pengerusi
Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah Nasional