SelangorToday

DOKUMEN SEMENTARA KEWARGANEGARAAN : CONTOHI SARAWAK, PUTRAJAYA PERLU BERTINDAK

Pengerusi Biro Perubahan Masyarakat AMANAH Selangor, Hj Shamsul Ma`arif bin Ismail menyeru agar pihak kerajaan persekutuan dibawah kelolaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mencontohi dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak dalam memberikan memberikan dokumen sementara kepada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan. Tambah beliau, AMANAH Selangor menyokong penuh keputusan dan langkah yang diambil oleh kerajaan Sarawak untuk mewujudkan dokumen sementara bagi mengatasi masalah kekangan akses kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di bawah umur 21 tahun

Namun Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional itu menempelak kerajaan persekutuan yang masih gagal menyelesaikan isu hak kanak-kanak di negara ini. Kata beliau kegagalan negara memberi hak kanak-kanak yang dilahirkan dan membesar di tanah air ini untuk akses kepada pendidikan wajib rendah dan menengah dan rawatan kesihatan, akan memberi kesan yang buruk kepada mereka dan sumber manusia negara pada jangka masa panjang.

Ahli Majlis, MPAJ itu berkata, meski Dokumen sementara ini bukanlah satu jaminan untuk mendapat taraf kewarganegaraan secara automatik tetapi berdasarkan Seksyen 28 CRC, Malaysia wajib memastikan agar semua kanak-kanak di Malaysia, termasuk kanak-kanak tanpa dokumen memperolehi akses kepada pendidikan percuma. Maka AMANAH Selangor menggesa agar kerajaan persekutuan mempertimbangkan agar semua kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang lahir di Malaysia segera diberikan Dokumen Sementara bagi memudahkan mereka mendapat hak untuk bersekolah dan hak untuk mendapat kemudahan asas perubatan. Tanpa tindakan dan ucapan retorik semata-mata oleh pihak kerajaan maka dasar Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera hanyalah satu utopia semata-mata.

Exit mobile version