Pengarah Strategi AMANAH Nasional, Dr. Dzulkefly Ahmad menyeru agar seluruh ahli parti disemua peringkat untuk menumpukan kepada usaha perkukuhkan HARAPAN. Ketika membuat ucapan penggulungan di Konvensyen AMANAH Nasional 2022 di Seremban semalam, Dr. Dzul berkata, ada pelbagai strategi yang sedang dipertimbangkan oleh Biro Strategi AMANAH bersama rakan-rakan startegi dalam HARAPAN untuk memenangkan HARAPAN dalam PRU ke-15. Namun tambah Dr. Dzul, strategi yang pelbagai itu jika diumumkan kepada ahli mungkin akan memeningkan keadaan yang sedia ada sedang genting, oleh itu Dr. Dzul hanya mengemukakan satu startegi sahaja yang perlu dijalankan oleh ahli-ahli AMANAH untuk diberikan tumpuan.
Bekas Menteri Kesihatan itu juga berkata, dengan langkah memperkukuhkan HARAPAN serta bergerak sebagai sebuah gabungan yang jitu berhadapan dengan rakyat, akan meningkatkan kesedaran rakyat untuk keluar mengundi. Justeru, Dr. Dzul mahu semua ahli menumpukan kepada usaha tersebut berbanding melihat perihal yang lebih rumit. Bagi Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional pula, Khalid Samad turut menyeru ahli parti memberikan kepercayaan kepada kepimpinan AMANAH yang telah ditugaskan untuk berbincang dengan pimpinan HARAPAN serta rakan-rakan pembangkang berkaitan agihan kerusi. Keyakinan ahli kepada pimpinan yang sedang berusaha sehabis baik itu boleh mengurangkan konflik dalaman AMANAH di peringkat kawasan mahupun negeri.
Selain itu, bekas Menteri Wilayah itu juga mahu ahli parti mendapatkan maklumat yang tepat melalui saluran parti yang telah diwujudkan. Khalid berkatar, sehingga hari ini, AMANAH mempunyai kesemua saluran-saluran komunikasi seperti JOM Channel, MalaysiaDateline dan Media Oren. Kesemua saluran ini, digunakan oleh pimpinan parti untuk menyampaikan maklumat kepada ahli. Oleh itu, Khalid mahu ahli-ahli mendapat maklumat melalui saluran yang telah disediakan berbanding saluran lain yang bersifat tidak rasmi. Khalid juga mengumumkan bahawa AMANAH melalui Biro Mobilasi AMANAH Nasional akan menyewa sebuah track untuk digunakan sebagai platform kempen yang akan dibawa ke seluruh negara. – Selangor Today