Menteri Kesihatan baru dilantik, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad akan membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Negara meskipun kurang daripada 24 jam selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan di Istana Negara semalam. Pengarah Strategik AMANAH Nasional itu menzahirkan tekad untuk melaksanakan agenda transformasi kesihatan digital secara menyeluruh.
Beliau yang memulakan tugas secara rasmi hari ini berkata usaha transformasi berkenaan akan dijayakan bersama-sama Timbalannya Datuk Lukanisman Awang Sauni dan pasukan KKM yang diketuai Ketua Setiausaha Datuk Seri Dr Zaini Ujang.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong yang memberi perkenan saya kembali kemudi dan pimpin KKM. Insya-Allah bersama pasukan ini, saya akan galas tanggungjawab besar, amanah berat ini,” katanya kepada pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi KKM.
Dr Dzulkefly tiba kira-kira pukul 8.15 pagi di bangunan KKM yang disambut Lukanisman, Zaini dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
Selepas itu beliau menghadiri taklimat ringkas bersama-sama pengurusan tertinggi KKM.
Dzulkefly yang pernah memegang portfolio Menteri Kesihatan pada 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020, mengambil tempat Dr Zaliha Mustafa yang kini diberi tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).