Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dan pasukannya melalui Kementerian Kesihatan (KKM) menggariskan rancangan strategik bagi menambah baik kemudahan infrastruktur dan sumber manusia untuk Hospital Selayang, Selangor.
Beliau yang melakukan lawatan mengejut ke hospital itu semalam berkata antara permasalahan yang dikenal pasti adalah Sistem Maklumat Hospital Bersepadu (THIS) yang sudah tergendala untuk sekian lama menyebabkan semuanya dibuat secara manual.
“Hari ini (semalam) saya dapat melihat secara dekat dan kenal pasti keperluan mendesak…ada perkara penting yang saya akan bangkitkan dalam mesyuarat Kabinet dan saya mahukan perolehan dibuat segera.
“Antara yang saya perhatikan tadi adalah sistem THIS yang sudah tergendala sekian lama menyebabkan semuanya dibuat secara manual…kita akan tangani segera sistem digitalnya, perolehan peralatan dan meredakan kesesakan di hospital termasuk (menambah baik) perkhidmatan lif,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Dr Dzulkefly berkata rancangan strategik bagi menambah baik kemudahan infrastruktur dan sumber manusia untuk Hospital Selayang perlu bagi memastikan hospital itu tidak hanya memenuhi, tetapi melebihi harapan rakyat dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan yang efisien dan efektif.
Dr Dzulkefly turut menghargai ketabahan dan kreativiti petugas hospital berkenaan dalam mengekalkan perkhidmatan pesakit yang lancar.
Beliau berkata keazaman untuk menaik taraf fasiliti hospital yang telah beroperasi sejak 1999 itu dengan memperkukuh sistem informasinya adalah bukti usaha berterusan KKM dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
Menurut hantaran itu, Dr Dzulkefly turut meninjau operasi harian beberapa jabatan penting hospital berkenaan termasuk Jabatan Teknologi Maklumat, Jabatan Rekod Perubatan, Jabatan Patalogi, Perkhidmatan Klinik Pakar dan Jabatan Kecemasan dan Trauma.
Hadir sama dalam lawatan itu Pengarah Hospital Selayang Dr Afidah Ali, Timbalan Pengarah Perubatan II Dr Siti Zufina Abd Samah dan ketua-ketua jabatan klinikal serta pengurusan hospital.
-BERNAMA