Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilantik menganggotai Majlis Penasihat Kesihatan Awam Selangor (Selphac). Perlantikan itu diumumkan oleh . Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ucapan perasmian penubuhan Selphac. Untuk makluman, Selphac ditubuhkan sebagai salah satu langkah proaktif melindungi rakyat negeri ini menerusi sistem kesihatan awam dengan lebih efektif. Dato’ Menteri Besar berkata majlis itu akan memacu idea-idea baharu supaya langkah pengukuhan direncana sebaiknya.
“Berbekal pengalaman pentadbiran dan pengurusan ketika pandemik Covid-19, Selangor yakin untuk mengorak kejayaan serta mencorak masa depan yang lebih baik. Semoga inisiatif ini melindungi masa depan kita bersama,” kata menerusi Facebook.
Amirudin menjelaskan keanggotaan Selphac turut mengumpulkan pelbagai latar belakang supaya pelaksanaan bersifat menyeluruh dan bersasar.
“Inisiatif ini selari dengan hasrat Kementerian Kesihatan yang menekankan pembentukan Jawatankuasa Agenda Nasional Malaysia Sihat di peringkat negeri,” katanya.
Selphac dianggotai 15 ahli terdiri daripada pemimpin negeri, agensi pelaksana utama, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pakar perubatan pelbagai bidang dan ahli akademik. Turut menganggotainya ialah mantan ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19, wakil kesihatan sektor industri, wakil persatuan perubatan Malaysia dan wakil persatuan pakar kesihatan awam.