Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad diumumkan menyertai kabinet semula sebagai Menteri Kesihatan. Beliau pernah memikul amanah tersebut semasa Pakatan Harapan memerintah Malaysia pada tahun 2018 sehingga 2020. Selain beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen Malaysia, Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo juga diumum mengetuai sebuah kementerian baru iaitu Kementerian Digital Malaysia. kementerian tersebut merupakan pecahan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital yang sebelum ini diketuai oleh Fahmi Fadzil. Pengerusi DAP Selangor itu akan dibantu oleh Ugak Anak Kumbong selaku timbalan menteri.
Bagi Ahli Parlimen Kota Raja pula, beliau dikekalkan di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Begitu juga dengan Menteri Ekonomi turut dikekalkan dibawah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli. Manakala Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah yang sebelum ini berkhidmat di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, diberikan peranan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan. Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari kekal sebagai Timbalan Menteri Pertahanan yang berketuakan Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin.
Dalam pengumuman sebentar tadi di Putrajaya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim diiringi Timbalan Perdana Menteri 1, Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan Senator Amir Hamzah dilantik sebagai Menteri Kewangan kedua bagi membantu Anwar selaku Menteri Pertama. Manakala Timbalan Perdana Menteri 2, Fadhillah Yusof mengetuai sebuah kementerian baharu iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Tenaga Awam sambil memikul tugas bersama Anwar menjaga Hal Ehwal Sabah Sarawak. – SelangorToday