SelangorToday

DR.DZULKEFLY JAMIN TIDAK BERAT SEBELAH, PINDAAN AKTA PERUBATAN 1971 PERBAIKI KUALITI, KUANTITI PAKAR

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat untuk menambah baik kualiti dan kuantiti pakar perubatan yang akan dilahirkan sama ada melalui program sarjana atau laluan `parallel’.

RUU itu juga antara lain bertujuan memberikan kuasa kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk mengiktiraf kelayakan serta latihan kepakaran bagi tujuan pendaftaran pengamal perubatan dan pakar.

Pindaan itu juga dijangka dapat menyelesaikan isu laluan parallel.

Dzulkefly ketika membentangkan RUU itu berkata, pindaan bertujuan menambah baik peruntukan berhubung pendaftaran pengamal perubatan sebagai pakar dan melaksanakan proses pengiktirafan kelulusan dan latihan kepakaran.

“Suatu program latihan boleh diiktiraf atau diluluskan MMC sekiranya ia memenuhi piawaian atau standard umum latihan kepakaran atau dikenali sebagai ‘Malaysian Standards for Medical Specialist Training’ dan piawai standard yang lebih spesifik mengikut bidang kepakaran atau ‘Speciality Specific Requirements (SSR) yang disediakan MMC.

“Selain itu, melalui Fasal 6, Subseksyen 14B(2) juga diperkenalkan yang mana ia memberi kuasa kepada MMC untuk membuat syor kepada menteri bagi mendaftarkan mana-mana orang sebagai pakar sekiranya dia tidak memenuhi syarat dalam perenggan 14B(1)(b) atau (c) iaitu memegang suatu kelulusan kepakaran atau sudah menyempurnakan latihan kepakaran,” katanya.

Dzulkefly berkata MMC boleh membuat syor sekiranya suatu kelulusan kepakaran atau latihan kepakaran yang sudah dilaluinya adalah setanding, seterusnya kepakarannya mempunyai nilai khusus kepada negara.

Katanya, ini bagi memberi kuasa kepada MMC untuk menilai dan membuat syor bagi mengiktiraf seseorang pengamal perubatan khususnya mereka dilatih dan mengamal di luar negara, yang mana pengalaman serta struktur latihan serta kelulusan diperolehinya, adalah berbeza dengan apa dilaksanakan dan diamalkan di negara ini.

“Majlis juga boleh membuat syor kepada menteri bagi mengenakan apa-apa syarat dan sekatan jika difikirkan patut sebelum seseorang itu boleh berdaftar melalui cara ini,”katanya.

Dzulkefly berkata, sementara mana-mana latihan dalam suatu kepakaran, sebelum tarikh permulaan kuat kuasa akta ini yang disediakan Kementerian Kesihatan, institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan atau mana-mana institusi lain di Malaysia bagi maksud pendaftaran pakar, hendaklah disifatkan sebagai latihan kepakaran.

Katanya, buat masa ini, terdapat seramai 8,660 pengamal perubatan yang sedang menjalani latihan kepakaran perubatan dan terdapat 1,242 pengamal perubatan yang telah lengkap menjalani latihan kepakaran perubatan di bawah laluan parallel.

“Semua pengamal perubatan yang mengikuti latihan kepakaran perubatan ini bakal berdepan dengan masalah untuk didaftarkan sebagai pakar perubatan dalam Daftar Pakar di bawah MMC kerana terjejas dengan syarat peruntukan Seksyen 14B Akta 50.

“Implikasi itu adalah besar dan atas sebab itulah Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Tinggi bersetuju dengan pandangan Jabatan Peguam Negara suoaya pindaan ke atas Akta 50 ini harus dilaksanakan dengan seberapa segera,” katanya.

Sesi perbahasan RUU itu disambung esok. – Berita Harian

Exit mobile version