
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad menjawab dakwaan bahawa cara kerajaan menangani isu Projek Rintis Waktu Bekerja Berlainan(WBB) adalah flip-flop.
Katanya, pembatalan projek rintis WBB bukan keputusan ‘flip flop’, sebaliknya ia diputuskan mesyuarat Kabinet selepas berlaku kebocoran pekeliling sehingga mencetuskan pertikaian baru-baru ini.
Tegas beliau pembatalan WBB diputuskan demi memastikan libat urus dengan pelbagai pihak dapat dilakukan.
“Apabila pekeliling bocor, doktor lain seluruh negara tanya kenapa mereka tidak dilibat uruskan.
“Saya mengangkat perkara ini ke Kabinet. Setelah saya buat penerangan, Kabinet memutuskan sebaiknya saya batalkan dan teruskan dengan kajian untuk dapatkan pandangan daripada semua pihak.
“Bukan flip flop tapi satu ketegasan, saya akan libat urus secara sangat meluas,” kata Naib Presiden Parti AMANAH Negara (AMANAH) itu ketika menyampaikan ucapan Konvensyen Nasional 2024.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menyifatkan kebocoran maklumat mengenainya WBB sebagai satu kesilapan yang akhirnya menjadi pertikaian.
“Itu puncanya WBB menjadi masalah, kerana mereka menuntut hak dilibatkan,” tambahnya.
Jumaat lalu, Dzulkefly berkata, Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan projek rintis WBB bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.