SelangorToday

DR.DZULKEFLY UMUM 5 LANGKAH STRATEGIK KKM HADAPI PENINGKATAN MENDADAK KES COVID-19

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah mengumumkan 5 langkah strategik untuk memperkukuhkan Pelan Pengurusan Covid-19 memandangkan Malaysia sedang mengalami peningkatan kes Covid-19 yang mendadak. Melalui sidang media berkaitan Covid-19 yang pertama kali diadakan oleh beliau selepas dilantik sebagai Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly menegaskan bahawa meskipun peningkatan tersebut besar, namun ia masih dalam keadaan terkawal oleh kerana daripada keseluruhan kes minggu 10 Disember hingga 16 Disember, hanya 3.0% merupakan pesakit kategori 3,4 dan 5.

Ahli parlimen Kuala Selangor itu memaklumkan, strategi pertama adalah pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-CoV -2 melalui sistem amaran awal, survelan komuniti, hospital dan persekitaran air kumbahan dan Pintu Masuk Antarabangsa. Kedua, memperkasakan komuniti melalui amalan TRIIS iaitu Test,Report(lapor),Isolate(asing),Inform(maklum) dan Seek(mendapatkan rawatan). Dr. Dzulkefly menggesa golongan yang berisiko tinggi untuk segera ke fasiliti kesihatan berhampiran meskipun bergejala ringan.

Ketiga, Dr.Dzulkefly ketika sidang media tersebut diiringi Ketua Setiausaha KKM, Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan menambah, Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) akan melakukan pemantauan fasiliti kesihatan dan kawalan kes Covid bagi golongan berisiko tinggi. Jelas Pengarah Strategik AMANAH itu, KKM sudah pun bersedia untuk menghadapi sebarang peningkatan jumlah kedatangan dan kemasukan pesakit ke wad serta memantau rapi kapasiti hospital melalui Bed Management Unit(BMU). Dalam masa yang sama agensi bukan KKM seperti hospital pengajar universiti, ATM dan sektor swasta serta NGO bersedia membantu KKM.

KKM akan menumpukan pemantauan secara tuntas kepada pesakit berisiko tinggi dengan melakukan ujian segera jika bergejala, mengambil rawatan antiviral(Paxlovid) bagi yang mencapai kriteria, menggalakan untuk mengambil vaksin dos penggalak dan pemakaian pelitup muka apabila berada di kawasan sesak, sempit dan kurang pengudaraan. Langkah strategik keempat ialah memperkasakan komuniti melalui komunikasi risiko berkesan serta kelima pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera. – SelangorToday

Exit mobile version