SelangorToday

DR.DZULKEFLY UMUM KKM ISYTIHAR PERANG KEPADA GULA, CEGAH OBESITI

Jumlah peningkatan prevalen berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia tahun lalu dalah 54.5 peratus berbanding 50.1 peratus pada pada tahun 2019.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, meskipun prevalen diabetes dalam kalangan dewasa menurun kepada 15.6 peratus berbanding 18.3 peratus pada 2019 namun Malaysia masih tersenarai antara negara dengan prevalen tertinggi di Asia Tenggara dengan nisbah satu daripada enam rakyat Malaysia menghidap diabetes.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan  (KKM) konsisten membendung penyakit obesiti dan diabetes menerusi Perang Terhadap Gula.

Jelasnya, Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024 hingga 2030 yang dilancarkan pada 29 Jun lalu mempunyai enam strategi utama selain 38 inisiatif dan 65 aktiviti.

“Aktiviti merangkumi polisi, advokasi dan kerjasama public-private partnership melalui pendekatan masyarakat dan negara yang menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu, usaha mengurangkan pengambilan gula diteruskan dengan pelaksanaan kempen ‘1 Sudu Teh Dah Cukup. Kurang Lebih Baik, Tiada Terbaik!”

Katanya, kempen berkenaan difokuskan kepada penyediaan minuman di kafetaria, restoran dan kedai makan di seluruh negara.

Tambah beliau, KKM juga mempergiatkan program-program dalam komuniti bagi tidak menggalakkan pengambilan gula.

“Pada 2023, KKM telah menjalankan saringan kepada 64,846 individu di Bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) melalui KOSPEN WOW di tempat kerja dan Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) di komuniti,” ujarnya.

Dzulkefly berkata, KKM juga telah menubuhkan 33 Wellness Hub di seluruh negara bagi meningkatkan kesejahteraan kesihatan kepada komuniti secara bersasar dalam pembudayaan hidup sihat termasuk mengurangkan pengambilan gula,

“Sebanyak 765,843 klien telah mendapatkan perkhidmatan tersebut pada 2020 hingga 2023,” tambahnya.

Ujar Dr Dzulkefly, usaha berkenaan turut diperkukuhkan dengan Kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang melancarkan Kempen ‘Kurang Gula, Kurang Harga’.

“Larangan penjualan makanan dan minuman tinggi gula seperti minuman berperisa, minuman dibancuh dengan kordial dan minuman berkarbonat juga telah diperluaskan ke seluruh kawasan sekolah termasuk kantin di samping menggalakkan sekolah menyediakan sumber air kosong.

“Perkara yang sama juga diterapkan semasa mesyuarat melalui pelaksanaan Penyajian Hidangan Sihat Semasa Mesyuarat di peringkat kementerian, agensi kerajaan dan swasta,” katanya lagi.

Semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Kabinet memutuskan minuman yang disediakan dalam semua acara anjuran kerajaan akan dikurangkan penggunaan gula sebanyak 50 peratus.- MalaysiaGazette

Exit mobile version