SelangorToday

KKM Umum Reformasi Menyeluruh Sistem Kesihatan, Garis Hala Tuju 2026

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan beberapa reformasi utama yang berjaya dilaksanakan dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangkumi aspek institusi, penyampaian perkhidmatan, sumber manusia, pembiayaan kesihatan serta kesihatan awam, di samping menggariskan hala tuju kementerian itu menuju tahun 2026.

Dalam aspek reformasi institusi dan tatakelola, KKM memperkemaskan ekosistem pentadbiran melalui penubuhan beberapa entiti strategik termasuk Bahagian Kesihatan Digital bagi memacu transformasi digital kementerian. Turut diwujudkan jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Health Transformation Office, National Centre for Food Safety serta penstrukturan semula National Transplant Resource Centre di bawah Bahagian Perkembangan Perubatan daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagi reformasi penyampaian perkhidmatan kesihatan, fokus diberikan kepada pemantapan fasiliti, pendigitalan dan peluasan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan. Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik (Electronic Medical Record – EMR), pemerkasaan aplikasi MySejahtera serta pelaksanaan Cloud-based Clinic Management System (CCMS) dengan sasaran 70 peratus pesakit dilayan dalam tempoh 30 minit. Selain itu, aplikasi MyUbat, teleperubatan dan perkhidmatan farmasi pandu lalu turut diperkenalkan. KKM juga melaksanakan naik taraf 880 klinik daif di seluruh negara, pembinaan baharu serta naik taraf klinik kesihatan melibatkan peruntukan RM663 juta, dan projek pembinaan baharu serta naik taraf hospital dengan peruntukan RM2.86 bilion.

Dalam reformasi sumber manusia, KKM menumpukan pembangunan laluan kerjaya pakar, pengukuhan penjawatan serta perlindungan kebajikan petugas kesihatan. Langkah ini termasuk pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50), pelaksanaan bayaran Insentif Pakar Pra-Warta, pelantikan tetap seramai 10,994 penjawat serta 4,328 jururawat. KKM turut melaksanakan kenaikan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) sebanyak 43 peratus dan mengekalkan waktu bekerja syif 42 jam seminggu.

–fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, reformasi pembiayaan kesihatan digerakkan ke arah pembentukan sistem yang lebih mampan dan adil melalui penubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Bagi Kos Penjagaan Kesihatan Swasta. Antara inisiatif lain ialah pemaparan harga ubat serta pengenalan produk Insurans Asas Medical Health Insurance dan Takaful (MHIT).

Dalam aspek kesihatan awam, keselamatan dan pencegahan, KKM memperkukuh perlindungan rakyat melalui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan 2.0 serta pemerkasaan perubatan tradisional dan komplementari. Turut dilaksanakan ialah inisiatif “perang terhadap gula”, Lung Health Initiative (LHI) dan Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023–2030.

Mengulas hala tuju KKM 2026, Dr Dzulkefly yang juga Naib Presiden Parti AMANAH Negara menegaskan tumpuan kementerian akan diberikan kepada pengurusan bakat berasaskan data dan empati, usaha mengurangkan kesesakan serta mengoptimumkan penggunaan aset, selain memperkukuh kesihatan awam yang lebih jitu melalui pendigitalan menyeluruh sistem kesihatan negara.

Baca secara terperinci kejayaan pelaksanaan Reformasi Kesihatan Awam dibawah kepimpinan Dr DzulKefly Ahmad di https://drive.google.com/file/d/1bDB4siagxzIiNBgPQgAccRMSG37I9Rj-/view?usp=drivesdk

Exit mobile version