SelangorToday

DR. HAFIDZAH SERU PENGUNDI PRK TOLAK PARTI PERMAIN SENTIMEN 3R

Pengundi yang akan memilih wakil mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dinasihati menolak habis-habisan calon dari parti politik yang sering memainkan isu 3R (raja, agama dan kaum) dalam kempen mereka.

Ketua Wanita Amanah Kelantan, Dr Hafidzah Mustaqim yang menitipkan nasihat itu berkata, ini termasuk menolak pemimpin parti yang suka memberi gelaran buruk kepada individu lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang membuat kejutan merampas kerusi Kota Lama daripada Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan lepas itu berkata, misalnya pihak pembangkang yang baru-baru ini membuka tirai kempen di Simpang Jeram dengan mengisi ceramah mereka dengan menggunakan kata-kata yang kurang baik di samping memberi gelaran buruk kepada individu tertentu.

“Bagi saya yang boleh lawan perkara ini adalah Malaysia Madani, tapi konsep itu masih belum dapat disampaikan sepenuhnya.

Pengalaman saya di Kelantan kita bukan lawan manifesto, kita lawan sentimen agama, perkauman dan raja-raja yang dimainkan,” katanya.

Timbalan Ketua Wanita PH Kelantan itu berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas mengiringi calon PH PRK Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman ke pusat penamaan calon pada Sabtu.

Exit mobile version