KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Ismail Saleh tampil membidas Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi berhubung polemik isu penghinaan al-Quran yang tular baru-baru ini.
Menurut beliau, isu berkaitan agama khususnya melibatkan al-Quran merupakan perkara amat sensitif dalam masyarakat majmuk Malaysia dan secara umumnya mencetuskan kemarahan semua pihak tanpa mengira latar belakang politik.
“Semua orang marah bila nama Islam disebut dalam konteks yang menghina. Tak kira siapa, isu ini sangat sensitif dalam Malaysia. Tak ada siapa pun yang tak marah,” katanya.
Dr Ismail turut mempertahankan tindakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang menurutnya telah mengambil langkah pantas terhadap insiden tersebut.
Beliau mendakwa masih ada pihak yang mempersoalkan tindakan kerajaan dan menuduh Perdana Menteri tidak bertindak, sedangkan tindakan telah pun diambil segera.
Namun, beliau menyifatkan pendekatan Dr Akmal dan Afnan sebagai tidak membantu meredakan keadaan, sebaliknya didakwa mengeruhkan lagi suasana dengan naratif yang dianggap mengelirukan.
“Sepatutnya sebagai orang muda, mereka mencerahkan keadaan. Tetapi naratif yang dibawa seolah-olah memutar kenyataan Perdana Menteri dan membuka ruang kemarahan rakyat terus membara,” ujarnya.
Dr Ismail menegaskan bahawa walaupun kedua-dua pemimpin tersebut berada di blok pembangkang, mereka seharusnya lebih bertanggungjawab dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan kaum.
Katanya lagi, sebarang kenyataan atau tindakan yang berpotensi meretakkan perpaduan kaum wajar dielakkan, apatah lagi dalam suasana politik yang sedia tegang.
Beliau turut menyindir bahawa corak pemikiran sedemikian tidak menawarkan sebarang nilai tambah kepada masyarakat, sama ada golongan muda mahupun tua.
“Kita sudah sampai masa untuk pengundi menilai dan membuat keputusan yang lebih bijak pada masa akan datang,” katanya mengakhiri kenyataan.