Tuaian semasa di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah mencapai 20 peratus dengan anggaran hasil kasar pengeluaran sebanyak 100,000 tan metrik setakat Isnin.
Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, jumlah pengeluaran tersebut adalah bersamaan dengan 54,000 tan atau 5.4 juta beg beras.
Menurutnya, MADA turut menjangkakan status kemajuan aktiviti tanaman padi di kawasan Muda mencapai 90 peratus pada pertengahan bulan depan dengan hasil kasar pengeluaran sebanyak 450,000 tan metrik iaitu bersamaan 274,000 tan beras.
“Bagi kelangsungan pengeluaran padi negara, pihak MADA juga melaksanakan strategi program peningkatan hasil padi di kawasan Muda dengan memfokuskan Penanaman Padi Skala Besar seperti Projek Smart Sawah Berskala Besar (SBB) Ala Sekinchan dan Projek Penanaman Padi Lima Kali Dalam Tempoh Dua Tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, Ismail berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) MADA Musim 2/2023 yang berlangsung pada Isnin bersetuju penanaman padi bagi Musim 1/2023 adalah bergantung kepada turunan air hujan 100 peratus.
Selain itu, beliau berkata, status kedudukan paras takungan air di empangan MADA berada dalam keadaan mencukupi bagi menampung aktiviti tanaman padi Musim 2/2023.
“Empangan Pedu berada pada kadar 726,884 juta meter padu (83.22 peratus), Empangan Muda pada kadar 81,850 juta meter padu (66.13 peratus) dan Empangan Ahning pada kadar 220,643 juta meter padu (98.94 peratus),” katanya.