
Ahli Dewan Negara, Dr Mujahid Yusof Rawa semalam telah menghadiri Majlis Iftar Perdana 2025 AMANAH Kawasan Shah Alam. Majlis yang diadakan di Dewan Teratai Seksyen 19 petang itu disertai kepimpinan AMANAH Kawasan Shah Alam yang diketuai oleh Hj Azli Yusof serta pimpinan dan ahli AMANAH kawasan tersebut termasuk Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Danial Al-Rashid Harun.
Dr Mujahid yang juga Timbalan Presiden AMANAH telah menyampaikan tazkirahnya sementara menanti waktu berbuka puasa. Dalam tazkirahnya, Dr Mujahid mengingatkan dan menyeru kepada ahli-ahli AMANAH untuk menunaikan hak setiap muslim yang beriman terhadap al-Quran.

Tegasnya, hak muslim terhadap al-Quran termasuklah membacanya, memahaminya dan melaksanakan tuntutan iaini beramal dengan isi kandungannya yang terdapat dalam al-Quran.
Program tersebut telah dimuatnaik melalui laman sosial Ketua Kawasan yang juga Ahli Parlimen kawasan tersebut. Hj Azli turut menyatakan bahawa seluruh ahli AMANAH kawasan tersebut memanjatkan doa di hari yang penuh berkat itu agar sentiasa mendapat petunjuk dijalan yang benar serta berada dalam keberkatan dan rahmat Allah SWT.

Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu juga mengharapkan majlis iftar yang diadakan setiap tahun itu mampu merapatkan saf dan ukhuwwah di antara pimpinan dan ahli kawasan.

Sementara itu sebelumnya, telah diadakan Program Khatam Perdana Parlimen Shah Alam 1446 Hijrah yang dianjurkan oleh Angkatan Wanita AMANAH Negara(AWAN) Kawasan Shah Alam. Dalam ucapan perasmian penutup, Hj Azli mengingatkan dirinya serta para peserta agar menghayati keseluruhan hikmah dan tujuan al-Quran diturunkan. Penghayatan itu juga mestilah merangkumi aspek keimanan, ibadah dan muamalat. –SelangorToday