SelangorToday

DR. MUJAHID : PEMERDAGANGAN MANUSIA BERLAKU AKIBAT RASUAH!!

Naib Presiden AMANAH, Dr. Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa aktiviti pemerdagangan manusia menjadi berleluasa akibat amalan rasuah atau korupsi yang tidak berpenghujung. Kata beliau, hampir setiap masa kita akan sentiasa berdebat dan berbincang bagaimana untuk mengelakkan daripada aktiviti pemerdagangan manusia itu berlaku, tetapi hakikatnya kita tidak akan mampu membendungnya jika amalan rasuah melibatkan penguasa tidak dicegah. Sambil menempelak Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan, Dr. Mujahid menegaskan sudah ada bukti yang jelas bahawa tercatatnya amalan rasuah ini sebagai punca aktiviti pemerdagangan manusia berlaku, namun cuba diselewengkan oleh ahli parlimen kerajaan.

Kata Dr.Mujahid, masalah pemerdagangan manusia tidak akan selesai jika rasuah berterusan

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) itu mempersoalkan tindakan yang diambil kepada 40 orang pegawai yang terlibat dalam membantu aktiviti pemerdagangan manusia berjalan. Kata beliau, tindakan yang diambil setakat ini hanyalah sekadar tindakan ringan untuk melengkapkan hukuman kepada mereka. Hakikatnya ia tidak memberi impak dan kesan kepada si pesalah. Kesannya pada hari ini tidak kelihatan kesungguhan kerajaan dalam menangani aktiviti pemerdagangan manusia ini. Tegas beliau, kos yang ditanggung kerajaan untuk menangani masalah pemerdagangan manusia ini lebih tinggi berbanding proses merekrut buruh asing masuk ke dalam negara. Oleh itu perlunya penilaian kepada pengambilan buruh asing yang lebih mudah dan berkesan.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga berkata, jika usaha ini tidak mampu diselesaikan oleh kerajaan, maka wajar gaji Menteri Dalam Negeri di potong sebagai tanda kebertanggungjawaban beliau dalam hal ini. Apa pun yang dilakukan, Dr. Mujahid berharap agar tindakan yang dilakukan berpaksikan pada elemen, kerajaan, sosial dan persekitaran. Maksud beliau, setiap tindakan yang akan diambil oleh kerajaan selain melihat kepada peranan kerajaan, ia juga perlu melihatkan kepada nilai kemanusian agar tiada yang dizalimi selain memastikan kelestarian persekitaran alam dipelihara.  – Selangor Today

Exit mobile version