 
                Kuala Lumpur, 19 Ogos – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa usaha penjenamaan semula (re-branding) Tabung Haji (TH) adalah langkah penting untuk memastikan institusi itu kekal relevan serta berdaya saing dalam menguruskan kebajikan bakal jemaah haji.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, kenyataan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa yang mempertikaikan penggunaan khidmat syarikat bukan Islam dalam proses penjenamaan tersebut adalah hujah dangkal serta tidak berlandaskan prinsip syarak.

“Tabung Haji beroperasi atas premis muamalat yang luas, di mana segala perkara adalah harus selagi tiada dalil pengharamannya. Mengambil kepakaran bukan Islam hanya menjadi haram apabila ia membawa kepada penghinaan terhadap Islam atau menjejaskan nama baik agama. Sebaliknya, jika ia memberi maslahah dan manfaat kepada umat Islam, maka ia dibolehkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Mujahid, segala keputusan berhubung re-branding TH tetap ditentukan oleh Lembaga Pengarah serta pengurusan tertinggi yang terdiri daripada orang Islam, bukan oleh syarikat luar.
Beliau turut menempelak tindakan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa yang didakwa cuba membangkitkan sentimen umat Islam tanpa asas kukuh.
“Motif membangkitkan isu ini seolah-olah hanya untuk mencetuskan kemarahan umat Islam dan memburukkan kerajaan Madani. Saya bersimpati dengan umat Islam yang termakan hujah tidak bersandarkan dalil syarak hingga menjejaskan usaha strategik TH untuk kekal relevan,” ujarnya.

Mujahid turut menjelaskan bahawa tujuan utama penjenamaan semula ialah menggalakkan pendeposit meningkatkan simpanan mereka. Ini kerana, lebih separuh daripada pendeposit Tabung Haji hanya mempunyai simpanan sekitar RM1,300 – jauh daripada kos menunaikan haji yang kini mencecah lebih RM30,000, walaupun dengan subsidi kos minimum masih sekitar RM15,000.
“Maslahah besar yang cuba dicapai ialah memastikan penabung mampu menunaikan haji apabila tiba gilirannya. Malangnya perkara ini tidak difahami oleh YB Pengkalan Chepa,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mujahid menyeru para mufti untuk tampil memberikan penjelasan atau ketetapan semula mengenai hukum mengambil kepakaran bukan Islam dalam syarikat berentiti Islam bagi mengelakkan perdebatan tidak produktif.
“Retorik sentimen hanya akan mengundurkan umat Islam ke belakang dan mengheret masyarakat awam menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab. Sudah tiba masanya kita bergerak ke hadapan demi maslahat umat,” katanya.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            