Satu reformasi menyeluruh berkaitan perundangan syariah perlu dibuat bagi membaiki institusi mahkamah dan perundangan syariah di negara ini.
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, reformasi itu perlu dilakukan berikutan pelbagai pihak mula mencabar perundangan syariah termasuk dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, dengan beberapa isu berkaitan pihak yang mencabar perundangan syariah, reformasi itu sepatutnya menyemarakkan lagi azam untuk memperbaiki institusi mahkamah dan perundangan syariah daripada semua aspek dan bukan mempolitikannya.
Malah katanya, langkah itu wajar dibuat secara objektif dan kolektif dengan memastikan tiada kelompongan atau locona (jurang) dalam perundangan syariah agar tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan.
“Reformasi menyeluruh perundangan syariah perlu digerakkan. Saya tegaskan di sini, mempertahankan perundangan syariah perlu dibuat secara objektif dan kolektif. Ia bukan soal ‘syariah dicabar’ untuk dipolitikan tetapi bagaimana kita bertindak untuk memperkukuhkan peruntukan syariah yang ada supaya tiada lagi kelompongan,” katanya. – MalaysiaGazette