Pemikiran takfiri siyasi yang menguasai kepimpinan kerajaan negeri Kelantan akan memecahbelahkan masyarakat dan memburukkan imej Islam.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, takfiri siyasi bermaksud pemikiran yang menganggap seteru politiknya sebagai tidak perjuangkan Islam dan mereka sahaja secara eksklusif berbuat demikian.
“Ucapan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada kuliah Jumaat di Kota Bharu jelas mengisyaratkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai tontonan “hok lawe perjuangen Isle”.
“Pemikiran Islam ala Pas itu adalah hadiah pemberian ke atas rakyat Kelantan setelah proses demokrasi dibuat dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Mujahid, bagaimanapun, rakyat Kelantan telah membuat keputusan dengan memilih parti Pas untuk mentadbir negeri tersebut.
“Kita perlu menghormati pilihan mereka namun menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk menegur unsur yang boleh menjejaskan Islam sebagai agama rasmi negara,” ujarnya.