SelangorToday

DR. WAN AZIZAH SRIKANDI MALAYSIA MODEN

Photographer: Nadirah Zakariya

Saat tibanya tarikh 31 Ogos setiap tahun, rakyat Malaysia akan ditiupkan dengan semangat patriotisme negara sempena pada tarikh tersebutlah Malaysia yang sebelumnya disebut Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan. Usaha untuk menaikkan kesedaran rakyat bahawa begitu bermaknanya kemerdekaan negara ini jelas kelihatan daripada usaha Kerajaan Madani kali ini dengan temanya, lagu temanya, pelbagai video kempen dan jelajah agensi kerajaan untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Melangkah beberapa detik selepas itu, 2 Septmber muncul dengan seribu satu peringatan kepada detik cemas dan hitam buat negara apabila tarikh yang sama pada tahun 1998, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim dilucutkan semua jawatannya. Sejak itu, apabila tiba sahaja 2 September, rakyat dan ahli politik yang terkesan dengan peristiwa itu akan mengenangkannya kembali.

Lebih mengujakan apabila kini, Anwar telah pun dimahkotakan sebagai Perdana Menteri yang ke-10. Peristiwa itu akan dikenang lebih bermakna dan diadunkan dengan semangat Hari Kebangsaan. Namun disebaliknya memperingati peristiwa ini, rasanya seorang figura yang boleh diangkat sebagai tokoh yang wajar dihargai dan dikenang bertitik tolak atas dua peristiwa yang berlaku diatas. Hari Kebangsaan dan peristiwa perlucutan jawatan Anwar Ibrahim.

Figura yang dimaksudkan ialah, Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail. Umum mengetahui bahawa beliau merupakan wanita pertama negara hari ini memandangkan beliau adalah isteri kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Sebaliknya, sosok ini perlu dikenang sebagai srikandi Malaysia moden bukan kerana diadalah seorang isteri PM, sebaliknya dua asas yang boleh dipertimbangkan untuk memilih beliau.

–fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pertamanya, Dr. Wan Azizah merupakan isteri kepada Anwar yang sering menyokong atas segala usaha dan komitmen Anwar ketika berada dalam kerajaan UMNO-BN. Ke mana sahaja Anwar akan pergi, Dr. Wan Azizah akan sentiasa bersama dan mendokong tekad suaminya. Sehingga tarikh terlucutnya jawatan Anwar dalam kerajaan, Dr. Wan Azizah setia bersamanya. Namun membenamkan Anwar tidak semudah memecat beliau semata-mata sehingga kerajaan terpaksa melakukan tangkapan kepada beliau. Nah, ketika itu terpisahlah buat seketika Anwar dan Dr. Wan Azizah.

Rakyat yang melihat kepada keadaan itu marah dan mahu bersama Anwar. Malah hampir setiap masa sokongan kepada Anwar memuncak. Demi melihat Anwar diselamatkan dan sistem keadilan negara ditertegakkan, koordinasi politik wajar dibuat. PAS dan DAP serta PRM telah menggerakkan jentera bagi mengoptimumkan sokongan rakyat. Tetapi bagaimana dengan rakyat yang tidak mahu menyertai PAS, DAP mahupun PRM tetapi bersama Anwar. Maka perlulah ditubuhkan sebagai parti baru yang merangkumi pelbagai kaum iaitu Parti Keadilan Nasional.

Dr. Wan Azizah yang sebelum ini hanya tulus ikhlas mendokong perjuangan suaminya terpaksa terjun ke dalam politik semasa mengemudi PKN agar momentum sokongan rakyat kepada Anwar terus kekal. Sejak itu kehidupan Dr. Wan Azizah berubah kepada ahli politik. Adakah keputusan itu kemahuan beliau? Adakah itu cita-cita beliau? Tidak. Itu semua dilakukan bukan setakat kerana suaminya namun yang lebih besar mahu meletakkan Malaysia sebagai negara yang mengangkat keadilan sosial dan undang-undang.

Sejak itu, getir perjuangan Dr. Wan Azizah dihadapinya. Baik hanya tinggal sebuah kerusi di Dewan Rakyat, dikhianati oleh kawan dalam partinya, Dr. Wan Azizah tetap tabah dan mengharunginya. Perjuangannya berbeza dengan tokoh politik wanita lain kerana beliau tidak bersama suaminya. Malah beliau juga yang perlu menguruskan hal ehwa anaknya. Turut menambah cabaran, atas tekad Anwar, Dr. Wan Azizah dan anak-anaknya sering ditekan dengan pelbagai karenah bagi melemahkan semangat mereka.

Tetapi Dr. Wan Azizah telah membuktikan bahawa beliau yakin dengan pilihannya dan percaya akan ketentuan ilahi. Akhirnya Dr. Wan Azizah menjadi Presiden PKR yang memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam PRU 2018. Bermula dengan langkah keterpaksaan, Dr. Wan Azizah melakar sejarah politik baharu. Beliau bukan ahli politik, beliau hanyalah isteri seorang ahli politik, tetapi beliau mampu buktikan dan wajar dikenang sebagai srikandi Malaysia moden.

Kedua, sedar atau tidak Dr. Wan Azizah merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Jika rakyat tidak mahu mengaitkan isu Anwar terhadap Dr. Wan Azizah, dengan melihatkan akan rekod ini, Malaysia wajar mengenangkan keberadaan Dr. Wan Azizah di Malaysia. Bertahun Malaysia merdeka, belum sekalipun wanita diberi tempat sebagai TPM. Rafidah Aziz sebagai wanita paling lama dalam kabinet Malaysia pun tidak pernah ditempatkan disitu.

Namun Dr. Wan Azizah atas mandat kemenangan jumlah kerusi terbanyak dalam PRU 2018, tidak hanya diserap dalam kabinet, turut juga diberi kedudukan nombor dua negara. Beliau selaku Presiden PKR menandatangani watikah kesemua calon daripada Pakatan Harapan yang ketika itu menggunakan logo PKR. Secara tidak langsung selepas kemenangan itu, beliaulah yang layak diangkat sebagai PM Malaysia.

Dr. Wan Azizah sedar akan peralihan ini merupakan satu yang menyulitkan memandangkan BN telah memerintah bertahun lamanya. Malah janji Dr. Wan Azizah untuk melantik Tun Dr. Mahathir jika Pakatan Harapan menawan Putrajaya wajib dikotakan. Dr. Wan Azizah seorang yang berprinsip dan berpegang pada janji. Oleh itu menyerahkan tanggungjawab itu kepada Tun Dr. Mahathir atas keyakinannya bahawa negara harus bergerak ke depan dengan cita-cita diimpikan. Sebaliknya, ketulusan Dr. Wan Azizah dikhianati akibat ‘Langkah Sheraton’.

Dalam kabinet Dr. Wan Azizah diberi peranan mengemudi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Meskipun hanya 22 bulan, Dr. Wan Azizah berjaya melakar kejayaan dikementeriannya itu. Antara usaha kepimpinan beliau adalah meletakkan Pesuruhjaya Kanak-Kanak dibawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(SUHAKAM). Malah dibawah kepimpinan beliau, wujudkan kad OKU sub-kategori pembelajaran. Akhirnya yang merupakan ‘game changer’ kepada sektor wanita dan keluarga apabila beliau melancarkan Caruman Sukarela Insentif atau I-Suri yang menumpukan kepada caruman buat suri rumah.

Kesimpulannya, dua asas ini menjadikan Dr. Wan Azizah layak dikenang sebagai Srikandi Malaysia Moden atas dua peristiwa yang berlaku penghujung bulan Ogos dan awal bulan September. Mengelakkan daripada sentimen politik, kita perlu akui atas sumbangan dan pengorbanan Dr. Wan Azizah buat negara ini. Walau lebih lama sebagai pembangkang daripada ahli pentadbiran kerajaan, Dr. Wan Azizah menjadi pemimipin yang mempengaruhi situasi politik dan perjalanan pemerintahan negara.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version