Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan kepada Dewan Rakyat pada semalam bahawa Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara(DIKPN) sedang diperingkat draf akhir dan akan dimuktamadkan oleh Kementerian Pertahanan. Kata beliau, penglibatan menyeluruh pihak berkepentingan termasuk 47 kementerian dan agensi kerajaan, 114 syarikat pertahanan dan 8 buah negara lain. Tambah beliau, penglibatan banyak pihak dalam merangka dasar IPKN ini bagi memastikan ia selari dengan penekanan yang ditetapkan dalam Kertas Putih Pertahanan Negara bahawa dasar DIPKN mestilah berkonsepkan ‘whole of government’ dan ‘whole of society’.
Beliau memaklumkan perkara tersebut ketika ditanya oleh Ahli Parlimen Lumut dalam sesi soal jawab di Parlimen pada Selasa. Jelas beliau lagi, dasar tersebut sedang diteliti untuk memastikan pelaksanaannya kelak relevan serta berupaya memberi impak besar kepada pemain industri pertahanan. Malah Adly yang juga Naib Presiden AMANAH berkata, pelancaran ‘Malaysia`s New Industrial Master Plan 2030’ (NIMP) dan ratifikasi ‘Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership’ (CPTPP) membawa senario baru kepada industri pertahanan negara yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan dasar DIPKN kelak. Ahli Parlimen Alor Gajah itu menafikan dakwaan bahawa DIPKN ini ditangguhkan atas faktor isu tertentu seperti kelewatan projek pembinaan Malaysia’s Littoral Combat Ship (LCS). Malah Adly menegaskan Kementerian Pertahana merangka DIPKN berdasarkan teras asas yang ditetapkan. Antaranya keupayaan tempatan dan membangunkan DIPKN, pelaksanaannya mungkin tidak hanya dibangunkan sendiri, namun melibatkan kerjasama industri lain. – SelangorToday