
Kementerian Pertahanan (Mindef) menegaskan bahawa sebarang perlakuan buli dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan dikompromi dan akan dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati bersalah.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, anggota yang terlibat dalam kes buli akan berdepan dua bentuk tindakan iaitu hukuman di peringkat kementerian dan juga tindakan undang-undang negara.
“Mindef tidak akan membenarkan sebarang perlakuan buli berlaku, walaupun latihan ketenteraan dilaksanakan secara tegas kerana terdapat modul-modul latihan yang perlu dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad.
Menurut Adly, pihak kementerian jelas membezakan antara ketegasan dalam latihan dan tindakan yang menjurus kepada perbuatan buli.
“Mindef tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota ATM yang melampaui batas sehingga menyebabkan kejadian buli,” katanya.

Tambah beliau, walaupun kes buli dalam kalangan anggota ATM merupakan kes terpencil, pihak kementerian tetap mengambil langkah sewajarnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Sebagai contoh, katanya, beberapa penambahbaikan telah dilakukan di institusi pendidikan di bawah seliaan Mindef seperti Maktab Tentera Diraja, termasuk menambah bilangan warden, mengasingkan pelajar baharu dan lama serta memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV).
“Sekiranya terdapat unsur-unsur buli yang dikesan, pelajar yang terlibat akan dipanggil segera dan diberi nasihat sebagai langkah pencegahan awal,” jelasnya.
Mindef juga, katanya, telah menubuhkan sebuah jawatankuasa dalaman khas bagi meneliti dan membuat keputusan berhubung sebarang kes buli yang berlaku dalam institusi ketenteraan di bawah kementerian itu.