Kontroversi mengenai produk, makanan dan logo halal palsu kerap menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini.
Isu itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna Islam yang ingin memastikan makanan atau produk yang mereka makan mematuhi hukum syarak.
Kes terbaharu, makanan produk ‘sandwic ham & cheese’ yang diragui status halal dijual di kedai serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) di Universiti Malaya (UM).
Sebenarnya, terdapat dua saluran mudah untuk orang ramai membuat rujukan berkenaan status halal yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurut kenyataan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, saluran tersebut bagi memudahkan urusan orang ramai membuat rujukan dan mendapat maklumat berkaitan produk dan perkhidmatan yang telah disijilkan halal.
“Jakim telah membangunkan aplikasi Smart Halal dan Verify Halal yang boleh dimuat turun oleh pengguna sistem Android mahupun iOS.
“Selain itu, pengguna juga boleh membuat semakan melalui portal halal www.halal.gov.my,” katanya pada sidang Parlimen pada 12 November lalu.
Aplikasi berkenaan menggunakan Kod QR Smart Halal berpotensi meningkatkan permohonan dan pemilikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Kod QR itu dapat menyimpan maklumat lebih banyak berbanding kod produk universal (UPC) kerana ia mengandungi maklumat secara menegak serta mendatar.
Hanya dengan sekali imbas menggunakan aplikasi Smart Halal yang disediakan, pengguna akan memperoleh pelbagai maklumat pensijilan halal yang diinginkan.
Kod yang terdiri daripada modul hitam disusun dalam pola segi empat pada latar putih membolehkan maklumat dihantar dari dunia fizikal ke peranti mudah alih.
Penggunaan Kod QR juga bebas daripada sebarang lesen dan kini diterbitkan sebagai piawai ISO. -Sinar Harian