SelangorToday

DUN Sabah Bubar!! Ini Kisah Turun Naik Ketua Menteri Sabah

Sejak Sabah atau Borneo Utara menyertai Malaysia sejak 1963, negeri dibawah bayu itu mengalami perubahan kepimpinan yang ketara setiap satu dekad. Penyertaan Sabah ke Malaysia telah menobatkan Tun Fuad Stephens selaku peneraju UPKO dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah. Manakala Tun Datu Mustapha dilantik sebagai Yang Dipertuan Negeri Sabah yang pertama. Bagaimanapun konflik antara Tun Fuad dan Tun Datu tahun 1965 telah mencetuskan ketidakstabilan politik di Sabah menyebabkan Peter Lo Su Yin dari parti SCA dilantik menggantikan Tun Fuad.

Tidak sampai 2 tahun selepas transisi itu, DUN Sabah dibubarkan tahun 1967 dan Perikatan Sabah yang terdiri daripada USNO, SCA dan UPKO mendominasi pilihan raya tersebut . Tun Datu Mustapha yang menyertai politik secara aktif semula diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah yang ketiga. Dalam tempoh kepimpinannya, aksinya sebagai seorang yang berpengaruh dan memerintah secara kuku besi membolehkan Pilihan Raya Negeri 1971 dimenangi secara mudah oleh Perikatan Sabah dan Tun Datu Mustapha memerintah buat penggal kedua. Dominasi Tun Datu Mustapha juga menyebabkan pengaruh UPKO semakin berkurangan dan ia dibubarkan. Manakala Tun Fuad diangkat sebagai Yang Dipertuan Negeri Sabah tahun 1973.

Akibat dari aksi Tun Datu Mustapha yang semakin mencengkam mewujudkan ketidakselesaan pucuk pimpinan di Kuala Lumpur, justeru sebuah parti pelbagai kaum ditubuhkan khusus untuk menumbangkan Tun Datu Mustapha di Sabah. Sebelum itu, Kuala Lumpur berjaya menurunkan Tun Datu Mustapha sebagai Ketua Menteri akibat ketegangan sokongan di Sabah, lalu Tun Mohammad Said Keruak yang ketika itu Timbalan Presiden USNO dipilih menggantikan Tun Datu Mustapha. April 1976, DUN Sabah dibubarkan. USNO melalui Tun Datu Mustapha ingin kembali menguasai Sabah. Pun begitu, BERJAYA dibawah pimpinan Tun Fuad Stephens yang terjun semula dalam politik Sabah khas bagi mengekang penguasaan Tun Datu Mustapha berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri tersebut dengan memenangi 28 kerusi berbanding USNO 20 kerusi.

Tun Fuad kembali menduduki kerusi yang pernah beliau duduki dahulu sebagai Ketua Menteri. Namun takdir Allah, Tun Fuad berupaya memimpin Sabah dibawah panji BERJAYA hanya dua bulan sahaja. Tragedi double six membolehkan Harris Salleh Setiausaha Agung BERJAYA menggantikan Tun Fuad. Untuk makluman BERJAYA dan USNO merupakan parti komponen BN di persekutuan. Bagaimanapun, USNO merupakan pembangkang di negeri Sabah. Harris Salleh terus menerajui Sabah untuk penggal kedua dengan penambahan jumlah kerusi yang dimenangi lebih banyak. Akibatnya, BERJAYA mula dikritik oleh masyarakat termasuk dalam kepimpinan BERJAYA sendiri. BERJAYA kelihatan lebih pro Kuala Lumpur berbanding Kinabalu. Lebih mengukuh kedudukan Islam menyebabkan penganut kristian merasa terancam.

Justeru, rentetan dari aksi politik yang pelbagai, bekas Naib Presiden BERJAYA, Joseph Pairin Kitingan menubuhkan PBS dan berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri tahun1985. Kemenangan tipis itu menyebabkan Sabah jadi huru-hara dan politik Sabah kucar-kacir. Justeru Pairin yang dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah pasca PRN1985 membubarkan DUN Sabah semula supaya mandat baru diperoleh. Akhirnya PBS menang sekali lagi dan menerima mandat yang lebih besar. Pairin memang membawa PBS menyertai komponen BN. Bagaimanapun, PBS dilihat sebagai duri dalam daging di Kuala Lumpur. Pairin dan PBS selalu bertegang urat dengan kepimpinan KualaLumpur. Maka Pairin membubarkan DUN Sabah tahun 1990 tanpa memohon restu dari BN. Lantas PBS terus kekal menguasai DUN Sabah. PRU 1990 yang berlangsung beberapa bulan selepas PRN Sabah telah mencetuskan kemarahan kepimpinan BN khususnya UMNO kepada PBS. Selepas selesai penamaan calon, PBS yang bertanding hampir 14kerusi parlimen atas kouta BN mengisytiharkan sokongannya kepada Tengku Razaleigh Hamzah teraju pakatan pembangkang ketika itu.

Maka tahun 1994 PBS telah membubarkan DUN Sabah di saat UMNO mula mengakar di Sabah selepas bersalin kulit melalui Parti USNO. Tun Datu Mustapha yang sebelum ini membantu menubuhkan UMNO di Sabah keluar UMNO dan menyokong kepimpinan PBS. Akhirnya PRN itu, PBS menguasai 25 kerusi berbanding BN 23 kerusi. Aksi lompat-melompat di Sabah semakin ketara menyebabkan PBS yang sebelum itu mempunyai 25 kerusi hanya tinggal 3 kerusi sahaja. Tun Sakaran Dandai yang ketika itu Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah dipilih menjadi Ketua Menteri yang baru. Namun Tun Sakaran diminta menjadi Yang Dipertuan Negeri Sabah dan posisinya sebagai Ketua Menteri digantikan oleh Salleh Said Keruak.

Menariknya, semasa PRN Sabah tahun 1994, BN telah menawarkan aturan penggiliran sebagai Ketua Menteri antara parti komponen BN Sabah. Justeru selepas dua tahun, Salleh digantikan oleh Yong Teck Lee pemimpin SAPP hingga 1998. Tamat dua tahun, Benard Giluk Dompok Presiden PBS pula memimpin Sabah sehingga pilihan raya yang diadakan serentak antara negeri dan persekutuan tahun 1999. Begtulah seterusnya apabila selepas PRU itu, Osu Sukom(UMNO) memimpin Sabah sehingga 2001, Chong Kah Kiat(LDP) hingga 2003. Tun Musa Aman menerajui Sabah atas kouta UMNO pada tahun 2003 membawa BN dalam PRU 2004 tanpa melaksanakan sistem penggiliran Ketua Menteri lagi. Oleh itu Musa berjaya memerintah Sabah sehingga 2018.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (GE14) dan pilihan raya negeri Sabah 2018, Barisan Nasional (BN) di bawah Tan Sri Musa Aman memenangi 29 kerusi negeri, manakala Warisan bersama Pakatan Harapan (PH) juga memperoleh 29 kerusi, dan dua kerusi lagi diraih oleh STAR.  Musa Aman telah pun mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri malam 10 Mei 2018, dengan dakwaan beliau memperoleh sokongan majoriti melalui kerjasama BN-STAR.  Namun, dalam tempoh kira-kira 48 jam, berlaku perubahan sokongan apabila enam wakil BN (empat dari Umno dan dua dari UPKO) keluar menyertai Warisan/PH, meningkatkan bilangan kerusi Warisan/PH kepada 35 kerusi dan memberikan mereka majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.  Atas asas itu, Yang di-Pertua Negeri Sabah melantik Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri pada 12 Mei 2018, menggantikan Musa Aman, walaupun Musa menolak untuk meletak jawatan serta memfailkan tindakan undang-undang berikutan pelantikan tersebut kerana menurutnya ia tidak mengikut prosedur yang tepat.

Tahun 2020, kerajaan Warisan yang dipimpin oleh Shafie Apdal menghadapi situasi genting apabila Tan Sri Musa Aman mengisytiharkan bahawa beliau telah memperoleh sokongan majoriti daripada 33 ADUN untuk membentuk kerajaan baru, dengan ini menumbangkan kerajaan Warisan yang telah memerintah lebih dua tahun.  Walau bagaimanapun, Shafie Apdal, sebagai Ketua Menteri ketika itu, menggunakan kuasanya untuk menyuruh Yang di-Pertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai 2020, atas nasihatnya, bagi mengelakkan Musa Aman mengambil alih kerajaan melalui perubahan sokongan ADUN (coup politik).  Pilihan Raya Negeri Sabah telah diadakan pada 26 September 2020, dan hasilnya gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi majoriti mudah sebanyak 38 daripada 73 kerusi.  Hajiji Noor dari BERSATU-PN dilantik sebagai Ketua Menteri menggantikan Shafie Apdal.

Perubahan Kerajaan Persekutuan pda tahun 2022 menyebabkan Hajiji membawa Kerajaannya keluar Perikatan Nasional dan menubuhkan Kerajaan Gagasan Rakyat Sabah(GRS) bersama BN. Dalam tempoh itu Kerajaan GRS berubah seketika pada tahun 2023 apabila BN menarik diri dari kerajaan dan PH serta beberapa wakil rakyat BN pula menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri. Maka terbentuklah kerajaan GRS – PH Plus sehingga pembubaran DUN Sabah Hari ini.

Hanya Ketua Menteri yang dipilih melalui sistem penggiliran sahaja yang tidak diturunkan melalui kekalahan Pilihan Raya. Meskipun Tun Fuad, Tun Datu Mustapha dan Pairin meletakkan jawatan sebelum Pilihan Raya diadakan, namun keputusan Pilihan Raya selepas itu menunjukkan penolakkan rakyat kepada tokoh-tokoh melalui kekalahan parti masing-masing.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version