Program Selangor Saring yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor beberapa bulan yang lalu menampakkan impak positif pelaksaannnya. Berdasarkan jawapan Exco Kesihatan Awam Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud dalam Sidang Dewan Negeri Selangor yang bermula hari ini, sebanyak 7, 422 sampel telah diambil berkaitan Ujian Darah dan Ujian Air Kencing rakyat Selangor melibatkan 27 DUN yang telah mengadakan Program Selangor Saring. Ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Puan Rozana Zainal Abidin, Dr. Siti Mariah memaklumkan Selangor Saring menawarkan saringan penyakit tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang melalui saringan fizikal, ujian darah dan ujian air kencing.
Selain itu, Naib Presiden AMANAH itu menambah, Selangor Saring juga menyediakansaringan bagi empat jenis kanser, antaranya kanser payudara, kanser serviks, kanser kolorektal dan kanser prostat. Beliau menambah lagi, sebanyak 1,528 sampel bagi saringan kanser telah diperoleh melalui Selangor Saring ini. Walau bagaimana sekalipun, daripada jumlah sampel yang diperolehi, 1.6 % adalah positif. Kanser kolorektal mencatatkan peratusan positif tertinggi iaitu 5.19 % manakala kanser serviks adalah yang paling rendah.
Menegaskan soal pelaksanaanya, Dr. Siti Mariah menyarankan agar orang awam melakukan pendaftaran secara dalam talian jika berminat untuk melakukan saringan kesihatan di Selangor Saring. Meskipun orang awam boleh hadir secara ‘walk in’, namun melakukan pendaftaran terlebih dahulu akan memudahkan urusan ketika hadir di program Selangor Saring. Tegas beliau, Selangor Saring akan diadakan di setiap 56 DUN Selangor termasuk kawasan yang dimenangi oleh pembangkang. Akhirnya Dr. Siti Mariah memaklumkan, bagi pesakit yang dikesan positif penyakit kanser, kerajaan negeri telah bekerjasama dengan beberapa hospital panel, oleh itu pesakit akan prosedur lanjutan sehingga ke peringkat terakhir pengesahan secara percuma. – Selangor Today