Site icon SelangorToday

Dunia Kian Bergolak, Malaysia Tegas Pilih Damai – Wan Anwar

Wan Anwar Wan Ibrahim

Ketika dentuman konflik kembali menggoncang Timur Tengah susulan serangan terhadap Iran, Malaysia tampil dengan pendirian yang jelas — keamanan mesti diutamakan, bukan konfrontasi.

Dalam suasana geopolitik yang semakin tegang, Parti Amanah Negara (AMANAH) menyatakan sokongan penuh terhadap usul yang dibentangkan Perdana Menteri di Parlimen hari ini.

Sokongan itu dizahirkan oleh Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim, yang menegaskan parti berkenaan berdiri teguh bersama kepimpinan Anwar Ibrahim dalam menyuarakan pendirian tegas Malaysia terhadap konflik yang sedang memuncak itu.

Menurut beliau, tindakan ketenteraan berterusan hanya mengorbankan nyawa orang awam, memusnahkan infrastruktur serta menggugat kestabilan serantau dan keselamatan global.

“Peperangan bukan jalan penyelesaian. Ia hanya memperdalamkan penderitaan dan menambah ketidaktentuan dunia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

WAN ANWAR berkata Malaysia secara konsisten berpegang kepada prinsip diplomasi, dialog berterusan serta penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa sebagai asas penyelesaian konflik. Sehubungan itu, AMANAH menyokong sepenuhnya usaha diplomatik kerajaan di peringkat antarabangsa termasuk melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta pelbagai platform pelbagai hala lain.

Dalam masa sama, beliau menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya memainkan peranan lebih tegas dan berkesan bagi menghentikan peperangan dengan segera. Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak pantas mendesak gencatan senjata, melindungi orang awam serta membuka ruang rundingan damai tanpa syarat.

Selain itu, blok ekonomi yang semakin berpengaruh seperti BRICS turut diseru agar lebih aktif dan berani mempertahankan kepentingan negara-negara anggotanya dalam mendepani ketegangan global.

Menurutnya lagi, konflik berpanjangan bukan sahaja memberi kesan kepada negara terlibat, malah memberi impak besar terhadap ekonomi dunia termasuk kestabilan harga tenaga dan keselamatan rantaian bekalan global.

“Dunia memerlukan kepimpinan yang mengutamakan keamanan, bukan konfrontasi,” tegas beliau.

Dalam semangat Ramadan, WAN ANWAR turut menyeru umat Islam di Malaysia agar memanjatkan doa supaya keselamatan dan kesejahteraan rakyat Iran segera dipulihkan, sekali gus membuka laluan kepada proses damai yang adil dan menyeluruh.

Exit mobile version