SelangorToday

TEMUA MATA | ISLAM TERAS PERJUANGAN AMANAH

AMANAH lahir sebagai sebuah parti Islam yang membawa pendekatan yang lebih sederhana dan jalur tengah untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia. AMANAH mula memimpin kebangkitan rakyat dalam Pakatan Harapan dan berjaya membentuk kerajaan persekutuan pada 9  Mei 2018. Malah ahli parlimen AMANAH diberi portfolio yang penting dalam kerajaan termasuk portfolio Hal Ehwal Agama Islam.

Masa berlalu dan AMANAH sudah pun berusia 7 tahun untuk tahun 2022 ini. Namun, masih kedengaran suara-suara yang menyatakan AMANAH bukanlah parti Melayu Islam seperti yang dinyatakn berulang-ulang kali dari pimpinan. Sokongan daripada pengundi melayu Islam kepada AMANAH masih rendah. Oleh itu, Selangor Today membawakan wawancara khas bersama Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, Tuan Hj Azli Yusof bagi mengupas kedudukan AMANAH sebagai parti Melayu Islam dan kelangsungannya dalam politik Malaysia.

Tuan Hj Azli merupakan Ketua AMANAH kawasan Shah Alam dan pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Yang Berhormat Tuan Hj Khalid Samad. Beliau juga satu ketika dahulu pernah berada dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan keluar parti untuk menubuhkan AMANAH. Baca wawancara penuh bersama beliau.

Tuan Hj Azli Yusof, Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor

Berikut merupakan transkrip penuh wawancara:

Untuk permulaan, boleh Tuan Hj terangkan sikit pencapaian AMANAH sebagai parti politik yang memasuki umur 7 Tahun dalam arena politik Malaysia.  Mungkin selain aspek politik, juga boleh sentuh khusus dalam aspek pembangunan agama Islam.

Parti AMANAH Negara ditubuhkan pada 16 September 2015. Walaupun ada yang meramalkan AMANAH hanya mampu bertahan hanya 2 tahun, kini terbukti AMANAH telah menghampiri usia 7 tahun. Ia semakin diterima ramai, dihormati oleh rakan dan digeruni lawan dalam politik. Ia semakin diiktiraf dan diharapkan oleh masyarakat dalam mencorak masa depan dan pembangunan negara.

Ketika di usia dua setengah tahun, AMANAH telah bersama-sama dengan rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14 (2018) di peringkat Persekutuan dan berjaya menawan Negeri Selangor, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Kerajaan PH melantik 5 orang Menteri dan 5 orang Timbalan Menteri dari AMANAH. Ketua Menteri Melaka dilantik dari AMANAH selain dari lantikan beberapa orang EXCO Kerajaan Negeri yang dimenangi PH. Ini tidak termasuk lantikan-lantikan politik diperingkat PBT dan institusi masyarakat yang lain.

Ini merupakan suatu kejayaan besar bagi AMANAH. Ia menjadi rekod pencapaian terbaik bagi mana-mana parti yang baharu ditubuhkan. Pastinya seluruh kepimpinan, ahli dan pendokong AMANAH berbangga dengan pencapaian ini.

Sebagai parti yang berasaskan Islam, AMANAH mengemukan calon yang sangat berkelayakan memimpin institusi tertinggi Agama Islam dalam negara. Dato Seri Muhajid Yusof Rawa dilantik sebagai Menteri Agama. Ketika memegang jawatan inilah, beliau mengangkat gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin dan  pendekatan Maqasid Syariah sebagai tunjang kepada sebuah tadbir urus yang baik bagi sebuah negara. Ianya diluluskan dan diterimapakai oleh Jamaah Menteri. Kemuncaknya, ia manjadi sebahagian titah utama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14 pada awal 2019. Dalam titah itu, Baginda melahirkan sokongan tidak berbelah bagi atas usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar yang diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat.

Sejak itu, pelbagai siri seminar dan penerangn dianjurkan untuk memberi penjelasan di peringkat Kementerian-kementerian, Jabatan-jabatan kerajaan, Swasta dan NGOs berkenaan dengan konsep dan aplikasi gagasan ini. Ianya berjalan lancar, mula difahami dan dihayati pelbagai peringkat pentadbiran dan pengurusan. Sasaran seterusnya adalah membawa gagasan ini ke peringkat akar umbi dalam masyarakat.

Selain itu, kepimpinan oleh Dato Seri Dr Mujahid juga telah membuat beberapa pembaruan berkenaan kecekapan pentadbiran dan pengurusan jabatan-jabatan dan unit-unit di bawah Menteri Agama. Antaranya menaiktaraf E-Syariah Versi 3 untuk pendaftaran kes-kes di Mahkamah Syariah; meningkatkan kecekapan dan penyelesaian kes-kes Mahkama Syariah yang tertunggak; menetapkan penunjuk aras bagi kes-kes rayuan syariah dalam tempoh 6 bulan; memberi penekanan kepada kajian dan semakan semula undang-undang sedia ada disamping penggubalan undang-undang baharu untuk memastikan keadilan dan manfaat kepada yang berhak.

Malangnya usaha-usaha pembangunan Islam ini terhalang apabila berlakunya Langkah Sheraton yang mengakibatkan kerajaan PH dijatuhkan secara tebuk atap. Ada juga yang kata secara pintu belakang. Pokoknya, tindakan ini bukan melalui proses demokrasi sebenar yang mengambil mandat dari rakyat melalui proses pilihanraya.

Tuan Hj Azli ketika menjalankan tugas sebagai Setiausaha Politik Menteri Wilayah

Salah satu sebab AMANAH ditubuhkan adalah atas perbezaan pendekatan pimpinan AMANAH dengan pimpinan PAS dalam membawa naratif Islam di Malaysia. Pertembungan itu membawa kepada wujudnya AMANAH, apakah aspek perbezaan itu dan mungkin juga keistimewaan buat AMANAH?

AMANAH mempelopori gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin iaitu Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam. Ia suatu gagasan yang universal yang disebut di dalam al Quran (al Anbiya’:107). Ia merujuk kepada manfaat diperolehi semua makhluk termasuk manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, alam sekitar dan lain-lain. Di sudut kemanusiaan, ia memberi manfaat dan keadilan untuk semua tanpa mengira fahaman politik, agama, keturunan, umur dan jantina.

Dengan menterjemahkan teras utama iaitu Amanah, progresif, peduli dan inklusif; AMANAH menaruh harapan gagasan ini akan menjadi model Negara Islam kontemporari yang mementingkan kesejahteraan rakyat dalam negara pelbagai agama dan bangsa. Ia akan menyerlahkan kesyumulan Islam sesuai untuk sepanjang zaman. Kita boleh perjelaskan bagaimana teras-teras ini menyokong pendekatan AMANAH dalam sesi wawancara yang lain, Insya Allah.

Ini berbeza dengan PAS yang membawa pendekatan keagamaan dan hak keistimewaan yang eksklusif. Mereka sering menimbulkan prejudis terhadap pihak yang berlainan kepercayaan, berlainan bangsa dan fahaman politik. Semuanya disandarkan atas agama dan aqidah. Akhirnya masyarakat umum melihat Islam ini sebagai agama yang berat sebelah, bersifat menghukum. Sedangkan Islam tidak begitu sifatnya. Di era 80an, pendekatan ini sangat ketara hingga yang seagama dan sebangsa pun dikafirkan menyebabkan timbul perpecahan keluarga dan sanak saudara. Kemudian trend ini agak reda seketika. Kebalakangan ini, pendekatan menghukum ini hidup semula hanya kerana ada pihak yang tidak sehaluan atau sependapat dengan mereka, walaupun mereka itu seagama. Apatah lagi yang bukan seagama atau bukan sebangsa.

Jadi tanggapan salah faham terhadap Islam begini yang AMANAH ingin perbetulkan, perjelaskan dan sampaikan kepada masyarakat melalui gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin. Matlamatnya supaya masyarakat Islam semakin kuat pegangan dan beramal dengannya. Manakala masyarakat bukan Islam pula selesa dan yakin berada di bawah kepimpinan Islam.

Satu ketika dahulu, Tuan Hj Azli diapit Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Konvensyen AMANAH Nasional yang sepatutnya diadakan hujung tahun lalu ditangguhkan 23 Januari ini, konvensyen itu mengangkat tema AMANAH PAKSI KEBANGKITAN UMMAH. Mungkin tuan haji boleh bagi pandangan awal, mengapa tema ini diangkat? Dan apakah gagasan yang akan Presiden AMANAH bawa dalam ucapannya dalam konvensyen nanti?

Penangguhan Konvensyen disebabkan banjir besar yang melanda beberapa tempat dalam negara pada Disember 2021 yang lalu. Ini menunjukkan kepedulian AMANAH dalam menilai dan menentukan keutamaan sesuatu perkara atau peristiwa. Apatah lagi apabila ia melibatkan nyawa dan harta masyarakat awam.

Saya berpandangan tema AMANAH PAKSI KEBANGKITAN UMMAH ini diangkat bertujuan menggariskan dasar dan halatuju AMANAH untuk menghadapi PRU15 dan mendepani masa depan negara. Ia bertujuan menimbulkan semula kesedaran masyarakat keseluruhannya (ummah) yang sudah mula bosan dengan kerenah politik dan putus harap terhadap sosio-ekonomi negara. Dalam hal ini, AMANAH harus menjadi paksi, penggerak dan pemangkin utama memimpin kebangkitan ini.

Saya tidak terlibat dalam Ucaptama Presiden. Jadi saya pun ingin tahu intipati ucaptama Presiden nanti. Namun saya berharap Presiden akan mempertegaskan semula gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin dan pendekatan Maqasid yang dipelopori AMANAH; menggariskan perkara pokok bagi mempastikan politik dan ekonomi negara berada dalam landasan yang betul; dan menggesa agar rakyat bangkit sekali lagi untuk membetulkan keadaan negara yang tempang disebabkan Langkah Sheraton. Pada PRU15 tidak lama lagi, Rakyat wajib berikan mandat kepada yang ahli, yang mahir dan yang amanah dalam urusan mentadbir negara. Jangan sekali-kali rakyat bersikap berkecuali. Jangan biarkan nasib rakyat dan negara ini ditentukan oleh pihak yang berkepentingan diri dan puak mereka. Hancur negara, merana akhirnya.

Tuan Hj Azli ketika menyantuni kaum bukan melayu di Shah Alam

Masyarakat masih melihat AMANAH sebagai parti neutral, atau tidak Islamik. Sedangkan dalam budaya pengundi Melayu, nilai atau elemen melayu islam menjadi indikator penting untuk dipilih oleh pengundi melayu. Adakah AMANAH khususnya Selangor akan memulakan anjakannya untuk mewajahkan semula AMANAH sebagai parti bernuansa melayu?

Saya kurang pasti di mana neutral dan tidak Islamik nya AMANAH. Sedangkan Struktur organisasi, matlamat, halatuju, gagasan dan pendekatan AMANAH amat jelas berpaksi kepada Islam. Adakah kerana AMANAH tidak melaungkan kami parti Melayu Islam, maka kami tidak Islamik dan tidak Melayu? Hakikatnya apabila Islam itu dimartabatkan, maka secara tidak lansung Melayu yang akan mendapat manfaat paling besar. Dalam masa yang sama, kedudukan Islam dan ketuanan Melayu sentiasa terpelihara dalam sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan yang kita amalkan.

Saya percaya keraguan sebegini timbul disebabkan wirid dan propaganda jahat yang diulang-ulang oleh musuh politik AMANAH sejak ia ditubuhkan. Saya yakin mereka yang mengikuti perkembangan AMANAH tidak berfikiran begitu. Malangnya dalam era media sosial dan kelajuan penyampaian maklumat tanpa sempadan, perkara yang palsu pun akan dianggap betul jika sering lalu di hadapan mata dan terngiang di gendang telinga.

Barangkali disinilah perlunya AMANAH melipatgandakan usaha penerangan dan aktiviti menangkis serangan dan dakyah pihak lawan. Keperluan ini saya tidak nafikan. AMANAH Selangor sedang usaha dan laksanakan.

Tuan Hj Azli ketika berucap dalam salah satu konvensyen AMANAH Selangor

Harapan tuan hj untuk tahun 2022 ini, apakah yang tuan hj ingin lihat pada AMANAH itu sendiri, Pakatan Harapan dan Malaysia.

Saya lihat AMANAH telah menggariskan matlamat yang betul dan menetapkan halatuju yang tepat dan sesuai untuk menjadi parti Islam peneraju bagi Malaysia, negara pelbagai agama dan kaum yang sedang pesat membangun. AMANAH telah memposisi kedudukan parti dengan baik untuk bersama dengan Pakatan Harapan (PH). Hanya, AMANAH perlu memainkan peranan penting dan diberi peluang sama rata dalam Khemah Besar yang sedang digagaskan. Semua komponen dalam PH harus mengutamakan kemenangan PH, bukan kemenangan mana-mana parti komponen dalam PH itu sendiri. Maka, Khemah Besar ini perlu kepada kemenangan besar. Kemenangan Besar perlu kepada jiwa besar. Jiwa besar perlu kepada anjakan yang besar juga. Anjakan yang besar akan meraih sokongan terbesar.

Saya berharap akan ada beberapa suntikan nafas baharu disudut kepimpinan dan penjajaran semula dalam PH. Saya yakin PH melalui Khemah Besar akan mentadbir semula Malaysia; menjadikan ia negara bermaruah yang dibina atas mandat rakyat dan dihormati seluruh dunia.

Dengan Kemenangan PH nanti, AMANAH akan berkembang lebih pesat untuk memacu gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin ke serata tempat dan setiap lapisan masyarakat.

Exit mobile version